Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Selepas 24 tahun, kadar Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) bagi acara berpasukan akhirnya disemak semula dengan ganjaran pingat emas dinaikkan daripada RM15,000 kepada RM40,000 seorang.

Kali terakhir kadar SHAKAM bagi acara berpasukan disemak adalah pada tahun 2002, manakala kadar bagi acara individu pula melalui semakan pada tahun 2010.

Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, keputusan itu dibuat selepas Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melihat perkembangan pesat pencapaian sukan negara, khususnya dalam acara berpasukan, selain keperluan memastikan kebajikan dan ganjaran atlet terus terpelihara.

Beliau berkata, persatuan sukan juga perlu diberikan pengiktirafan terhadap usaha memastikan atlet mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) dan sasaran ditetapkan.

“Kalau kita lihat perkembangan atlet-atlet kita yang luar biasa hebat, kita perlu memberikan ganjaran yang terbaik.

“Kita juga melihat bahawa perlu ada suntikan baharu untuk atlet supaya mereka lebih bersemangat. Kita bukan hanya mahu meminta atlet terus berusaha, tetapi sebagai kementerian dan kerajaan, kita juga perlu memastikan kebajikan serta ganjaran mereka terjamin dan terjaga,” kata Taufiq pada sidang media di sini, hari ini.

Menerusi kadar baharu itu, ganjaran pingat perak acara berpasukan turut dinaikkan daripada RM8,000 kepada RM20,000 seorang, manakala pingat gangsa meningkat daripada RM4,000 kepada RM10,000 seorang.

Taufiq berkata, setiap atlet yang memenangi pingat dalam acara membabitkan lebih daripada seorang peserta akan menerima 50 peratus daripada nilai ganjaran pingat acara individu.

“Kita juga melihat bahawa perlu ada suntikan baharu untuk atlet supaya mereka lebih bersemangat. Kita bukan hanya mahu meminta atlet terus berusaha, tetapi sebagai kementerian dan kerajaan, kita juga perlu memastikan kebajikan serta ganjaran mereka terjamin dan terjaga,” kata Taufiq pada sidang media di sini, hari ini.

Menerusi kadar baharu itu, ganjaran pingat perak acara berpasukan turut dinaikkan daripada RM8,000 kepada RM20,000 seorang, manakala pingat gangsa meningkat daripada RM4,000 kepada RM10,000 seorang.

Taufiq berkata, setiap atlet yang memenangi pingat dalam acara membabitkan lebih daripada seorang peserta akan menerima 50 peratus daripada nilai ganjaran pingat acara individu.

“Bagi pingat emas, setiap atlet akan menerima RM40,000. Kalau satu pasukan itu mempunyai lima orang atlet, jumlah keseluruhan ganjaran ialah RM200,000 berbanding sebelum ini hanya RM75,000,” katanya.

Beliau berkata, kadar baharu itu berkuat kuasa serta-merta dan turut melibatkan atlet yang mencapai kejayaan pada temasya tahun ini, selain menjadi kadar tetap bagi temasya akan datang.

Semakan itu membabitkan 66 atlet daripada 10 pasukan pemenang pingat Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, merangkumi sepak takraw yang meraih emas acara regu berpasukan dan perak regu, skuasy (emas berpasukan lelaki dan wanita) serta hoki (perak lelaki).

Turut menerima bayaran tambahan ialah pasukan berbasikal trek wanita yang memenangi perak acara pecut berpasukan, karate (gangsa kata berpasukan lelaki) dan e-sukan menerusi pingat perak Honor of Kings serta gangsa Identity V dan Mobile Legends: Bang Bang (MLBB).

Sebelum ini, tekong sepak takraw negara, Mohammad Syahir Mohd Rosdi meluahkan rasa terkilan apabila setiap pemain skuad berkenaan hanya menerima RM15,000 seorang berbanding RM80,000 untuk pemenang emas acara individu menerusi kadar SHAKAM terdahulu biarpun berjaya menamatkan penantian 36 tahun memenangi emas acara regu berpasukan lelaki pada Sukan Asia Aichi-Nagoya.

Mengulas lanjut, semakan itu bukan hanya memberi manfaat kepada atlet senior, malah diharap menjadi dorongan kepada golongan pelapis dan junior untuk mengejar kejayaan di pentas antarabangsa.

“Kita bukan hanya mahu memberi penekanan kepada atlet sedia ada. Kita juga mahu atlet pelapis dan junior melihat ganjaran ini sebagai satu nilai yang boleh mereka capai sekiranya berjaya memenangi pingat emas, perak atau gangsa,” tambahnya.

Dari segi implikasi kewangan, pelaksanaan kadar baharu itu meningkat sebanyak RM1.152 juta termasuk insentif jurulatih menerusi Skim Galakan Jurulatih, manakala peruntukan SHAKAM meningkat daripada RM4.26 juta kepada RM5.41 juta.

Jumlah keseluruhan SHAKAM untuk 2026 pula mencecah RM6.69 juta, menjadikannya peruntukan kedua tertinggi sejak skim itu diperkenalkan pada tahun 1986.

Taufiq berkata, tambahan peruntukan itu disalurkan menerusi Kumpulan Wang Amanah Sukan Negara (KWASN) tanpa menjejaskan bajet latihan serta penyertaan atlet ke kejohanan luar negara.

Beliau turut menegaskan kenaikan itu bukan bertujuan memanjakan atlet, sebaliknya menjadi dorongan untuk mereka terus mengekalkan prestasi.

“Saya sangat optimis ganjaran yang kita berikan ini tidak memanjakan mereka, tetapi merupakan satu suntikan semangat supaya mereka kekal memberikan yang terbaik untuk negara,” katanya. -BH Online