Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Lembaga Tabung Haji (TH) dijadualkan untuk mengumumkan agihan keuntungan bagi tahun 2023 pagi esok, yang bakal disempurnakan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd. Na’im Mokhtar.

Beberapa penganalisis ekonomi menjangkakan TH bakal mengumumkan kadar hibah yang lebih tinggi berbanding 3.1 peratus pada 2022.

Pengarah Program MBA, Putra Business School (PBS), Prof Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, beliau menjangkakan pemberian hibah sekitar 3.2 hingga 3.5 peratus.

“Pertama ia disebabkan TH kini tidak begitu terbeban dengan kos penyelenggaraan haji, kerana sudah memperkenalkan harga kos untuk jemaah haji T20 dan mengurangkan bantuan buat golongan M40.

“Selain itu, pasaran ekuiti tahun lalu walaupun masih perlahan, ia telah menunjukkan peningkatan berbanding 2022 dan ini dapat dilihat berdasarkan kadar dividen Amanah Saham Bumiputera dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja yang lebih tinggi,” katanya sewaktu dihubungi.

TH sebelum ini mengumumkan kadar hibah sebanyak 3.1 peratus buat tiga tahun berturut-turut iaitu bagi tahun 2020, 2021 dan 2022. – KOSMO! ONLINE.