KUANATAN: Kerajaan Pahang menyasarkan kutipan hasil berjumlah RM1.507 bilion tahun depan manakala jumlah perbelanjaan mengurus dianggarkan RM1.502 bilion dengan lebihan atau surplus berjumlah RM5 juta.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan ismail, berkata sejumlah RM454.4 juta pula diperuntukkan bagi perbelanjaan pembangunan untuk membiayai pelbagai projek dan program yang dirancang.
Namun, katanya, dalam menyusun keutamaan belanjawan, agenda kebajikan rakyat akan terus diberi keutamaan.
“Sejak 2022, kerajaan negeri melaksanakan program Bantuan Prihatin Pahang yang kemudiannya diteruskan melalui Inisiatif Makmur Pahang membabitkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM245.61 juta sepanjang tempoh lima tahun.
“Bagi 2027, usaha ini akan diperluaskan melalui penjenamaan baharu, iaitu Inisiatif Bantuan Negeri Pahang (iBNP) yang menggabungkan seluruh bentuk bantuan termasuk Inisiatif Makmur Pahang dan Apresiasi Pahang 1st, supaya manfaatnya dinikmati oleh seluruh rakyat, khususnya golongan yang memerlukan,” katanya.
Wan Rosdy berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Pahang 2027 bertemakan ‘Pahang 1st:Kerajaan Prihatin, Rakyat Diutamakan’ pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.
Bagi merealisasikan, katanya, enam teras utama Belanjawan Pahang 2027 digariskan iaitu teras pertama ialah memperkasa pendidikan, Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dan modal insan.
Katanya, teras kedua ialah memacu pertumbuhan ekonomi, pelaburan dan keusahawanan, teras ketiga ialah memantapkan tadbir urus, integrity dan kecekapan penyampaian perkhidmatan.
“Teras keempat, memperkukuh infrastruktur dan kemudahan asas rakyat, memelihara alam sekitar dan mengurus sumber negeri secara lestari (kelima) dan memperkukuh kesejahteraan rakyat (keenam),” katanya.
Perkasa UPNP
Sementara itu, Wan Rosdy berkata, sebagai sebuah negeri yang meletakkan Islam sebagai agama negeri, usaha memperkukuh syiar Islam dan institusi keagamaan terus menjadi keutamaan.
Justeru, katanya, sejumlah RM260.55 juta diperuntukkan bagi pengurusan, pembangunan dan program syiar Islam pentadbiran kerajaan negeri.
“Peruntukan ini meningkat RM31.84 juta atau 13.5 peratus berbanding tahun ini.
“Selain itu, RM18 juta disediakan melalui Yayasan Pahang bagi memperkasa institusi tahfiz menerusi program pembangunan, bantuan dan geran padanan,” katanya.
Bagi memperkukuh kebajikan institusi agama dan golongan berkaitan, beliau berkata, RM22.45 juta diperuntukkan antaranya RM10,000 diberikan kepada setiap masjid dan RM4,000 kepada setiap surau yang dibenarkan mendirikan solat Jumaat dengan peruntukan RM7.95 juta.
“Sejumlah RM2.85 juta diperuntukkan untuk Program Barakah Haji Pahang dengan setiap jemaah haji menerima sumbangan sekali bayar RM900 berupa duit poket RM800 dan pek makanan retort bernilai RM100.
“Sumbangan sekali bayar berjumlah RM150 kepada setiap pelajar tahfiz dan pondok berdaftar. Peruntukan ini meningkat kepada RM1.35 juta berbanding RM800,000 tahun ini.
“Sumbangan sekali bayar RM2,000 kepada setiap maahad tahfiz dan pondok berdaftar dengan peruntukan RM600,000,” katanya.
Bagi memperkukuh keupayaan tindakan di lapangan ke arah matlamat mensifarkan pencerobohan tanah di Pahang, Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri komited memperkasakan Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) menerusi penambahan 50 pegawai baharu menjadikan jumlah kekuatan keseluruhan 220 orang.
Katanya, secara keseluruhannya, kerajaan negeri mahu memastikan kemajuan ekonomi dan pembangunan Pahang bergerak seiring dengan pemeliharaan alam sekitar.
“Khazanah alam dan biodiversiti negeri ini bukan sekadar warisan untuk kita nikmati hari ini tetapi amanah yang mesti dipelihara demi generasi akan datang,” katanya. -BH Online
