Sorting by

×
Screenshot
Hantar Berita Ini:

KLANG: Kerajaan sudah memulakan langkah kesiapsiagaan penuh di semua peringkat bagi mengelak risiko krisis bekalan makanan negara susulan ramalan fenomena cuaca panas melampau, El Nino, yang dijangka melanda bermula bulan depan hingga April tahun hadapan.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, gerak kerja awal itu membabitkan penyelarasan bersepadu bersama beberapa agensi utama termasuk Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) serta Agrobank.

Menurut beliau, fokus utama ketika ini adalah penyelarasan di peringkat kementerian dan agensi berkaitan bagi memastikan rantaian pengeluaran makanan kekal mampan sepanjang tempoh cuaca kering itu.

“Kita sedang memberikan taklimat dan menggerakkan persediaan ke arah itu membabitkan semua pihak iaitu kementerian, MADA dan KADA memandangkan fenomena El Nino dijangka berlaku antara Disember hingga April.

“Bagi aktiviti penanaman padi, kita akan mengikut jadual diarahkan. Sekiranya berlaku sebarang malapetaka atau kerosakan tanaman, pihak kementerian bersama Agrobank dan agensi berkaitan akan meneliti kes secara bersama pada waktu itu,” katanya selepas menyempurnakan pelancaran Agro i-Sinar Skim Pembiayaan Untuk Usahawan Mikro India di Dewan Klang Jaya, di sini, hari ini.

Mohamad Sabu memaklumkan persediaan di peringkat akar umbi turut dipergiatkan, khususnya di kawasan utara tanah air yang dijangka menerima impak paling ketara akibat cuaca panas.

“Buat masa ini, kita di peringkat persediaan minda dan penyatuan gerak kerja. Di Kedah misalnya, usaha ini akan digerakkan pihak MADA bersama komuniti setempat,” ujarnya.

Beliau menegaskan sektor perikanan turut diberi perhatian serius terutamanya melibatkan nasib golongan nelayan pantai apabila suhu air laut meningkat.

“Fenomena El Nino ini dijangka memberi kesan kuat di bahagian utara dan menjejaskan nelayan pantai kerana ikan berkemungkinan bergerak lebih jauh ke tengah laut apabila cuaca menjadi terlalu panas.

“Sehubungan itu, kerajaan memperbanyakkan simpanan stok ikan rakyat secara sejuk beku secara besar-besaran.

“Pihak LKIM bersama pemain industri swasta diarah menyediakan bekalan ini bagi menjamin sumber protein negara sentiasa mencukupi jika berlaku sebarang kecemasan,” katanya. -BH Online