Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kesemua 169 terminal bas di Semenanjung sama ada bawah seliaan pihak berkuasa tempatan (PBT) atau swasta diwajibkan mempunyai lesen terminal Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) untuk beroperasi.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, kewujudan pelesenan terminal itu penting bagi penyeragaman kawal selia dalam memastikan kemudahan, keselamatan dan tahap perkhidmatan di tahap terbaik.

“Kita telah mewartakan satu pewartaan baharu untuk melesenkan semua terminal pengangkutan awam di Semenanjung Malaysia berjumlah 169 terminal keseluruhannya.


“Kebanyakan terminal tersebut dikendalikan oleh PBT, tetapi trend sekarang ini banyak juga terminal dikendalikan pihak swasta yang telah dinaik taraf dengan baik.

“Jadi kita alu-alukan pihak swasta untuk melabur tetapi mereka mesti memohon lesen dari APAD untuk beroperasi,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Pusat Pengangkutan KLIA Terminal 2 dan Kempen ‘Relax, Reunite & Be Rewarded’ di sini hari ini.

Jelas beliau, Peraturan-Peraturan Pengangkutan Awam Darat (Pelesenan Terminal) (Stesen dan Pusat Pengangkutan) 2024 telah diwartakan pada 5 Februari lalu.

Menurutnya, selaras dengan peruntukan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715),Kementerian Pengangkutan memutuskan untuk menguatkuasakan pelesenan terminal bagi memastikan pengoperasian di seluruh negara dapat dikawal selia. – KOSMO! ONLINE