Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Perdana Menteri yang membuat keputusan secara sembunyi adalah individu yang bertanggungjawab menyebabkan Malaysia kehilangan Batu Puteh dalam proses rayuan di mahkamah antarabangsa, dedah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said di Dewan Negara hari ini.

Beliau mendedahkan, Perdana Menteri ketika itu membuat keputusan secara bersendirian, tanpa sesiapa mengetahuinya termasuk Peguam Negara yang bercuti ketika itu.

“Peguam Negara cuti empat hari ‘garden leave’- dipaksa cuti, tiada ada siapa yang tahu, keputusan dibuat sembunyi-sembunyi menyebabkan kita hilang Batu Puteh dalam proses rayuan antarabangsa dan tidak seorang pun menggembar-gemburkan isu ini dan mengaitkan dengan soal kehilangan kedaulatan, 

“Perkara ini sudah disiasat pasukan petugas khas, dia dipanggil tetapi dia tak datang dan kini sudah ada Suruhanjaya Diraja (RCI). Beliau boleh dipanggil, jika tidak hadir boleh ditangkap,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Kekebalan Bidang Kuasa Negara Asing 2023, di Dewan Negara hari ini.

Tanpa menamakan Perdana Menteri berkenaan, Azalina menjelaskan, perkara itu berlaku bukan ketika beliau menjawat jawatan Menteri .

Beliau menjelaskan Malaysia tidak akan kehilangan Batu Puteh itu jika peristiwa itu berlaku ketika beliau menjadi menteri.

Katanya, semua pihak perlu memberikan kepercayaan kepada RCI untuk Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan yang ditubuhkan untuk mencari kaedah penyelesaian serta penambahbaikan mengenai sebarang isu membabitkan kedaulatan negara.

Terdahulu ketika perbahasan beberapa senator membangkitkan kebimbangan mereka berhubung kuasa Perdana Menteri dalam Fasal 30, 31, 32 dan 33 dalam perbahasan RUU Kekebalan Bidang Kuasa Negara Asing 2023.

Mereka bimbang kuasa perdana menteri itu menyebabkan penyalahgunaan kuasa yang tidak sihat kepada pentadbiran negara.

Menjelaskan perkara itu, Azalina berkata, tidak sepatutnya wujud kekhuatiran itu kerana keputusan perdana menteri perlu diwartakan dan dibentangkan kepada umum.

Pada 23 Mei 2008,Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) memutuskan Singapura mempunyai hak terhadap Batu Puteh, manakala Batuan Tengah yang terletak kurang satu kilometer (km) dari pulau itu milik Malaysia. 

ICJ juga memutuskan hak milik Tubir Selatan, kira-kira 4km dari Batu Puteh, akan ditentukan mengikut persempadanan perairan negara yang menguasainya.

Namun, kerajaan Pakatan Harapan diterajui Tun Dr Mahathir Mohamad menarik balik permohonan membatalkan keputusan ICJ yang menganugerahkan bidang kuasa undang-undang Batu Puteh kepada Singapura, pada 28 Mei 2018.-BH Online