Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Datuk Seri Anwar Ibrahim melahirkan rasa sedih dan terkesan dengan isu rasuah dan salah guna kuasa terbaharu yang dilaporkan berlaku di bahagian kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang sehingga negara menanggung kerugian hampir RM2 bilion.

Perdana Menteri berkata, biarpun masalah rasuah itu membabitkan jabatan kecil di bawah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), ia membabitkan nilai yang besar.

“Sehingga kini dengan mendapat maklumat daripada badan penguat kuasa termasuk SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia), pimpinan dan pimpinan kanan penjawat awam, masih terhindar daripada masalah rasuah dan salah guna kuasa.

“Tetapi masih berlaku kecurangan yang bagi saya sangat mengesankan dan menyedihkan termasuk berita baharu dari Kastam,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perhimpunan Bulanan Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di PUSPANITAPURI hari ini.

Jumaat lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mendedahkan, jumlah ketirisan akibat kegiatan sindiket penyeludupan membabitkan beberapa anggota kastam di Kargo KLIA mencecah RM2 bilion bagi tempoh tiga tahun lalu.

Katanya, setakat ini seramai 34 anggota penguat kuasa dan 27 individu serta pemilik syarikat ditahan menerusi Ops Samba 2.0 kerana melindungi dan memudahkan aktiviti penyeludupan sindiket itu.

Anggota dan pegawai penguat kuasa berusia 30 hingga 50 ditahan dipercayai menerima wang rasuah lebih RM4.7 juta daripada sindiket bagi memudahkan kegiatan penyeludupan tembakau kunyah, rokok, arak, produk kesihatan dan alat ganti kenderaan.

“(Ops Samba 2.0) penting kerana kita bongkar kegiatan rasuah libatkan agensi penguat kuasa yang libatkan kebolosan dan ketirisan,” katanya. 

Mengulas lanjut, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, ada orang yang masih meremehkan isu rasuah namun terlupa bahawa tindakan itu boleh menyebabkan kerugian kepada negara. 

“Bayangkan kalau ini berlaku dengan ketirisan minyak diesel, minyak makan (masak) diambil oleh kalangan tertentu, kalau kita kumpul semua, kita boleh selamatkan puluhan bilion ringgit,” katanya.-BH Online