Sorting by

×

Projek pelebaran Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) daripada empat lorong kepada enam lorong yang sebelum ini berakhir di Simpang Renggam, diteruskan sehingga Ayer Hitam.

Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan berkata pertambahan sebanyak 17 kilometer (km) itu menjadikan keseluruhan projek pelebaran kepada 37km tanpa membabitkan sebarang kos tambahan.

Beliau berkata kerajaan sebelum ini telah memperuntukkan RM931 juta bagi projek berkenaan membabitkan jarak dari Sedenak hingga Simpang Renggam.

“Saya ingin memaklumkan bahawa dengan kos RM931 juta, projek ini bukan hanya dari Sedenak sampai Simpang Renggam tetapi ia sehingga simpang Ayer Hitam.

“Kita dalam proses kajian nilai (VA) supaya boleh lanjut pelebaran itu kerana peruntukan besar ini boleh sehingga simpang Ayer Hitam dengan projek akan bermula tahun ini,” katanya ketika mengulas mengenai perkembangan projek berkenaan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) Cawangan Kejuruteraan Mekanikal Negeri Johor, yang turut dihadiri Pengarah JKR Johor Abu Bakar Abd Aziz.

Pada Oktober tahun lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi Belanjawan 2024 mengumumkan projek pelebaran Lebuh Raya PLUS daripada empat kepada enam lorong itu dilanjutkan dari Sedenak ke Simpang Renggam dengan melibatkan kos RM931 juta.

Setakat ini, laluan enam sehingga lapan lorong di lebuh raya PLUS dari Kuala Lumpur ke selatan berakhir di Melaka.– BERNAMA