Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka menghadiri Majlis Iftar MADANI anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang diadakan esok bersempena cuti Nuzul Quran.

JAKIM dalam kenyataan hari ini berkata, majlis diadakan di Bulatan Dataran Putra di sini, bermula jam 5.30 petang akan turut menyediakan 10,000 pek juadah berbuka dan bubur lambuk Kampung Baru.

Katanya, orang ramai yang menghadiri majlis iftar julung kali diadakan itu, berpeluang berbuka puasa beramai-ramai secara santai dan duduk bersila bersama-sama Perdana Menteri. 

“Objektif majlis ini untuk merapatkan persaudaraan dan kebersamaan masyarakat melalui perkongsian rezeki, sekali gus dapat bersama-sama berbuka puasa dengan Perdana Menteri. 

“Selain itu, ia membuka ruang kepada agensi kerajaan bersama Perdana Menteri untuk mendekati, menyantuni dan merasai kondisi pelbagai lapisan rakyat di negara ini, selain menyuburkan semangat rahmah serta perpaduan di negara ini,” katanya.

JAKIM berkata, antara acara menarik sempena Majlis Iftar MADANI ialah penampilan istimewa persembahan nasyid daripada Kumpulan Zawfan dan Awla, tazkirah santai ustaz Norazam Bahadur dan ustaz Mohd Rahimi P Ramlee serta Tausiyah Ramadan ustaz Abdul Hadi Bakri, Ketua Sekretariat Duat Al Falah. 

Susulan itu, JAKIM menjemput orang ramai daripada pelbagai lapisan masyarakat hadir memeriahkan majlis berkenaan.

“Bagi memastikan keselesaan orang awam yang hadir, bas ulang-alik disediakan di check point Hentian Suasana PJH ke Masjid Putra dan kenderaan boleh diletakkan di kawasan parkir di Suasana serta CIMB Presint 2 (Selatan) dan di kawasan parkir berhampiran Kompleks Pejabat Perdana Menteri (B13) yang mencukupi,” katanya.

Program Majlis Iftar MADANI anjuran bersama JAKIM dan Perbadanan Putrajaya (PPj) serta kerjasama 14 agensi agama Persekutuan dan rakan strategik lain termasuk Tenaga Nasional Bhd, Lembaga Hasil Dalam Negeri, Pusat Pungutan Zakat Wilayah Persekutuan dan Sekretariat Dakwah Korporat JAKIM. – BERNAMA