Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Agensi Pintu Masuk dan Sempadan Malaysia (MCBA) akan beroperasi sepenuhnya selepas Rang Undang-Undang (RUU) Pindaan Akta-Akta Berbangkit yang dijadual dibentangkan di Dewan Rakyat pada Jun ini diluluskan.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, berkata pengurusan MCBA ketika ini giat menyelaraskan perbincangan dan libat urus bagi tujuan penggubalan RUU berkenaan.

Beliau berkata, MCBA ketika ini turut menyelaraskan perbincangan dan libat urus bagi menggubal RUU MCBA yang turut dijadual dibentangkan di Dewan Rakyat, pada Jun ini.

“RUU Pindaan Akta-Akta Berbangkit ini membabitkan 31 akta berkaitan.

“Selain itu, penyelarasan dan libat urus bersama agensi sedia ada dan pihak berkepentingan lain juga sedang giat dilaksanakan bagi memastikan koordinasi yang baik dan harmoni di pintu masuk.

“Penyelarasan ini akan merangkumi perancangan operasi secara berfasa, pembangunan prosedur operasi standard bersepadu di lapangan serta mekanisme penyelarasan dasar antara pelbagai kementerian dan jabatan berbeza,” katanya.

Beliau menjawab soalan Datuk Shamshulkahar Mohd Deli (BN-Jempol) mengenai status terkini projek rintis pelaksanaan agensi tunggal sempadan negara (SBA) bagi mengawal selia 141 pintu masuk negara pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Sementara itu, Shamsul Anuar berkata, permohonan perjawatan MCBA sudah diluluskan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada 29 Disember 2023, diikuti Waran Perjawatan MCBA Bil. K3 Tahun 2024 oleh Perbendaharaan berkuat kuasa mulai 5 Januari lalu.

Katanya, MCBA adalah agensi kerajaan yang bertindak sebagai barisan hadapan di pintu masuk negara termasuk pelabuhan dengan penubuhannya dipersetujui Jemaah Menteri pada 18 Oktober lalu.

“MCBA bertanggungjawab menyediakan perkhidmatan kawalan dan pemeriksaan secara bersepadu dan komprehensif di pintu masuk darat, laut dan udara, termasuk pelabuhan bagi pergerakan orang, kenderaan dan barangan termasuk haiwan serta tumbuhan.

“Datuk Seri Hazani Ghazali dari Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dilantik sebagai Ketua Pengarah MCBA pertama, pada 31 Januari lalu.

“Selain Hazani, sebanyak 103 waran perjawatan baharu turut diluluskan bagi pelaksanaan MCBA di peringkat ibu pejabat dan sembilan pintu masuk.

“Waran perjawatan membabitkan pelbagai skim perjawatan dan gred terbabit kini sedang dalam fasa pengisian,” katanya.-BH Online