Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Projek yang dilaksana Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) dilihat memberi kesan kepada penduduk dan menjadi pemangkin pembangunan luar bandar di Kedah.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata Kerajaan Pusat membelanjakan kira-kira RM2.31 bilion kepada KEDA untuk menjalankan pelbagai projek sejak ia ditubuhkan pada 1981.

Katanya, tahun ini KEDA menerima RM50.7 juta untuk pembangunan 11 projek prasarana berjumlah RM30.5 juta, enam projek ekonomi dan pertanian (RM8.45 juta), lima projek modal insan (RM8.87 juta) dan RM2.85 juta bagi tiga projek usahawan.

“Ini satu jumlah besar dan biarpun kita lihat terdapat pengeluaran daripada projek yang dijalankan, saya mengharapkan Pengerusi KEDA akan melihat juga dari segi keberhasilannya.

“Saya yakin keberkesanan kos yang efektif harus menjadi agenda utama, bukan hanya sekadar berapa projek yang dijalankan tetapi keberkesanan sesuatu projek itu,” katanya pada Majlis Santunan Kasih Ramadan KEDA di Sungai Tiang di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; Pengerusi KEDA, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, KEDA juga perlu memberi tumpuan dalam usaha mengeluarkan rakyat yang masih hidup dalam kelompok kemiskinan tegar.

“Kita mahu mewujudkan lebih ramai usahawan dan kita mahu lihat keberhasilan berapa ramai usahawan yang berjaya. 

“Kita juga mahu melihat hasil program keusahawan ini dapat merangkumi Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS) di kawasan KEDA khususnya,” katanya.

Beliau berkata, bagi memastikan usaha itu mampu dicapai, semua agensi di bawah KKDW dan juga kementerian lain perlu berusaha mencapai keberhasilan projek masing-masing.