Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Tiada draf perjanjian diberi atau diterima di antara Kerajaan MADANI dan pembangkang seperti yang didakwa pemimpin Perikatan Nasional (PN).

Timbalan Perdana Menteri selaku Ketua Whip Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, justeru tidak timbul wujudnya draf perjanjian baharu Kerajaan MADANI seperti yang didakwa pemimpin PN berkaitan tuntutan peruntukan wakil rakyat pembangkang.

Tambahnya, beliau juga tidak ada menyerahkan sebarang draf dokumen seperti didakwa dalam pertemuan dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

“Draf ini turut disebut Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid. Tapi adakah YB Rosol sudah lihat ‘draf’ itu? Jika belum, mintalah ‘draf’ itu dari Ketua Pembangkang. Cuba lihat ‘draf’ itu wujud atau tidak”, katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Timbalan Perdana Menteri itu menjelaskan pada pertemuan di Parlimen pada 19 Mac lalu, beliau hanya mendengar permohonan dan tawaran PN, namun tiada sebarang dokumen diberi mahu pun diterima.

Tegasnya pada pertemuan bersama wakil-wakil pembangkang minggu lalu, tiada sebarang dokumen diberi oleh pihak Kerajaan MADANI mahupun pihak pembangkang.

“Ia sekadar sesi mendengar permintaan dan tawaran PN malah tiada perbincangan mengenai perjanjian pun”, katanya.-Berita RTM