Sorting by

×

Kerajaan bersetuju dengan tujuh daripada lapan cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan membabitkan isu kewarganegaraan yang dikemukakan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Menteri berkenaan, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perkara itu dipersetujui dalam mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

“Saya telah buat pembentangan kepada Jemaah Menteri.

“Kesemua cadangan pindaan ambil kira pendapat termasuk setelah Perdana Menteri buat perbincangan dengan ketua komponen parti Kerajaan Perpaduan dan Ketua Whip.

“Maka terhadap cadangan yang KDN bentang itu semua dipersetujui melainkan satu tentang Perkara 19(b)dan 14(1)(e).

“Itu kekal sepertimana sebelum cadangan diangkat oleh KDN,” katanya dalam sidang media di sini.

Beliau berkata, kesemua cadangan pindaan yang dikemukakan itu mengambil kira pendapat semua pihak dan melalui sesi libat urus kendalian KDN.

Saifuddin Nasution juga berkata, beliau sendiri akan mengadakan satu lagi sesi libat urus dengan kelab penyokong ahli Parlimen pada Isnin ini untuk memberi penerangan lanjut mengenai cadangan KDN itu.

Beliau berharap apabila cadangan KDN itu diluluskan di Parlimen, ia akan membolehkan proses permohonan kewarganegaraan dipercepat dan dilakukan dengan lebih jelas serta cermat.

“Apabila ia diluluskan dengan sokongan sekurang-kurangnya 148 ahli Parlimen maka pelaksanaan proses permohonan warganegara yang diterima harus dilakukan dengan peraturan, kaedah dan mekanisme yang lebih jelas, berhati-hati dan cermat,” katanya.

Sebelum ini, KDN mengenal pasti lapan perkara untuk dimasukkan sebagai cadangan dalam pindaan Perlembagaan Persekutuan membabitkan pemberian kewarganegaraan kepada anak yang lahir di luar negara oleh wanita Malaysia yang berkahwin dengan warga asing.

Saifuddin Nasution dilaporkan berkata, jawatankuasa khas kementerian yang ditubuhkan bagi meneliti perkara itu bersetuju menerima kelapan-lapan perkara itu namun tiada ketetapan dibuat setakat ini kerana ia perlu melalui proses lain di pelbagai peringkat. – Bernama