Sorting by

×

Jemaah Menteri hari ini bersetuju tindakan tegas dan segera sewajarnya diambil berhubung isu penjualan stoking tertera kalimah ALLAH oleh KK Mart cawangan Bandar Sunway, Petaling Jaya baru-baru ini, supaya perkara itu dapat diselesaikan secepat mungkin.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, Jemaah Menteri melihat isu itu telah mengakibatkan satu persepsi terhadap penghinaan agama dan sensitiviti kaum di negara ini.

Beliau yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, buat masa ini pihak berkuasa yang berkaitan sedang giat menjalankan siasatan berkaitan isu stoking tertera kalimah ALLAH itu, yang telah tular di media sosial sejak 13 Mac.

“Sekarang polis dah buat siasatan dan tindakan sepatutnya.

“Bagi tindakan penguatkuasaan boleh rujuk kepada yang dilakukan polis, untuk sebarang tindakan undang-undang pula rujuk Jabatan Peguam Negara,” katanya dalam sidang media di Angkasapuri di sini hari ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain dalam satu sidang media hari ini memaklumkan, polis sudah melengkapkan siasatan berhubung perkara berkenaan dan kini menunggu arahan selanjutnya daripada Jabatan Peguam Negara (AGC).

Fahmi berkata, isu penjualan stoking tertera kalimah ALLAH itu juga menyaksikan aplikasi TikTok menerima peningkatan laporan berkaitan kandungan di platform itu sejak 13 Mac hingga semalam.

“MCMC (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia) maklum sebelum ini TikTok hanya terima kira-kira 1,800 aduan sebulan, tapi dalam tempoh ini (13-21 Mac) sebanyak 1,040 laporan diterima, mungkin semua bukan isu sama (stoking) tetapi TikTok telah mendapati 53 peratus daripada aduan melanggar undang-undang Malaysia dan 19 peratus lagi melanggar Garis Panduan Komuniti aplikasi.

“Sebanyak 13 peratus lagi aduan masih dalam penelitian TikTok dan 15 peratus tidak melakukan apa-apa kesalahan,” katanya dalam sidang media di Angkasapuri di sini hari ini.

Fahmi berkata, beliau juga telah mengarahkan MCMC memantau media sosial terutamanya TikTok dan Facebook berkenaan tular tangkap layar kenyataan berbaur hasutan berkaitan isu penjualan stoking tertera kalimah ALLAH yang dimuat naik oleh pelbagai akaun di dua platform itu, dipercayai satu usaha untuk membentuk persepsi umum.

“MCMC sudah mengenal pasti trend menyiarkan satu mesej yang sama dan diulang-ulang oleh banyak akaun lain, namun belum dikenal pasti sama ada ia tindakan disengajakan ataupun tidak, mungkin ada cubaan pihak cuba menangguk di air yang keruh.

“Bagaimanapun saya mahu ingatkan berkaitan isu kalimah ALLAH ini, jangan ambil tindakan sendiri,” katanya. – Bernama