Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kerajaan mengarahkan semua penjawat awam negara ini menghentikan penggunaan aplikasi navigasi Waze secara serta merta.

Keputusan itu dibuat Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara (JKSN) dalam mesyuarat yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam.

Ketua Setiasaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, berkata dalam keputusannya, JKSN memutuskan larangan penggunaan aplikasi Waze yang berpangkalan di Israel dalam kalangan anggota perkhidmatan awam.

“Dalam hal ini, semua Ketua Setiausaha Kementerian dan Ketua Jabatan hendaklah memastikan keputusan ini dimaklumkan kepada semua pegawai di bawah seliaan masing-masing termasuk agensi dan jabatan berkaitan untuk dilaksanakan segera.

“Kerjasama dan perhatian serius bagi memastikan keputusan ini dipatuhi secara menyeluruh di peringkat kementerian, jabatan dan agensi masing-masing adalah amat dihargai,” katanya menerusi surat edaran kepada semua ketua jabatan yang dilihat hari ini.

Pejabat Ketua Setiausaha Negara ketika dihubungi BH, mengesahkan surat berkenaan.

Shamsul Azri berkata, sebarang pertanyaan atau keperluan penjelasan lanjut berhubung pelaksanaan arahan ini boleh dikemukakan kepada Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Perdana Menteri (JPM) selaku agensi penyelaras bagi tindakan itu.

Semalam, Perdana Menteri dilaporkan berkata, kerajaan menggalakkan orang ramai menggunakan aplikasi tempatan TuJu, yang dibangunkan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) sebagai alternatif bagi keperluan navigasi jalan raya.

Beliau berkata, langkah alternatif itu dicadangkan berikutan risiko keselamatan maklumat dan data pergerakan rakyat susulan penggunaan aplikasi Waze yang terikat di bawah undang-undang Kerajaan Israel.

Katanya, usaha itu penting bagi memastikan pendigitalan perkhidmatan awam terus memberi manfaat kepada rakyat tanpa mengabaikan keselamatan, kepercayaan dan kedaulatan negara.

Dalam mesyuarat JKSN semalam, turut dibincangkan ialah pelaksanaan Akta Keselamatan Siber 2024, keselamatan MyDigital ID, persediaan menghadapi ancaman komputer kuantum melalui kriptografi pasca-kuantum (PQC), ancaman baharu berasaskan kecerdasan buatan autonomi serta perlindungan Infrastruktur Maklumat Kritikal Negara (NCII). -BH Online