Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Sebuah pelabuhan kontena, Dickson Bay yang menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) membabitkan anggaran kos mencecah RM2 bilion, bakal dibina di Pasir Panjang, Port Dickson, dekat sini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata pelabuhan pertama di Negeri Sembilan itu akan dibina oleh Midports Holdings Sdn Bhd yang juga anak syarikat milik penuh Tanco Holdings Berhad, dengan kerjasama Menteri Besar Negeri Sembilan Diperbadankan (MBI).

Beliau menjelaskan, projek pembinaan pelabuhan pintar itu tidak membabitkan peruntukan kerajaan, sebaliknya ia akan dibiayai pihak swasta sepenuhnya.

“Kawasan pembinaannya yang berhadapan dengan laut, adalah tanah milik persendirian dan tidak membabitkan tanah kerajaan. Mereka (syarikat swasta terbabit) hanya memohon kepada kerajaan melalui Jabatan Laut Malaysia untuk mendirikan terminal.

“Sehubungan itu, ia adalah sebuah pelabuhan swasta. Malah, sudah ada satu kawasan di sana (Pasir Panjang) yang diwartakan sebagai Had Pelabuhan (Port Limit) oleh Kerajaan Persekutuan sejak 22 Ogos 2017,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian usaha sama pembangunan pelabuhan kontena pintar AI di Dickson Bay, Port Dickson, antara MBI dengan Midports Holdings Sdn Bhd, di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Zafir Ibrahim; Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk M Jana Santhiran; dan Pengarah Urusan Tanco Holdings Berhad, Datuk Seri Andrew Tan Jun Suan.

Mengulas lanjut, Loke berkata, projek pembinaan itu akan bermula selepas kajian teknikal dijalankan beberapa agensi berkaitan, termasuk Jabatan Laut.

“Sebelum projek ini bermula, ia memerlukan beberapa kajian teknikal oleh agensi berkaitan yang akan mengambil masa antara enam hingga 12 bulan,” katanya.

Ahli Parlimen Seremban itu bagaimanapun menafikan projek berkenaan boleh menyebabkan berlaku pertindihan dengan Pelabuhan Antarabangsa Kuala Linggi (KLIP) di Kuala Linggi, Melaka, yang sedang dalam pembinaan.

Beliau berkata, konsep KLIP lebih kepada pelabuhan minyak dan gas, manakala Dickson Bay pula lebih kepada kontena.

“Kita tidak melihat projek berkenaan akan mengakibatkan pertindihan, dan dasar kerajaan sedia ada ialah menggalakkan mana-mana pihak swasta untuk membuat pelaburan. Di sepanjang pesisir pantai Selat Melaka sekarang pun memang ada banyak pelabuhan.

“Kita mengalu-alukan pelaburan seumpama ini kerana ia akan memperbanyakkan lagi infrastruktur di negara ini,” katanya.-BH Online