Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata Pilihan Raya Kecil (PRK) di enam kawasan Parlimen disandang wakil rakyat BERSATU yang menyokong Perdana Menteri, tidak mungkin berlaku dalam masa terdekat.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak itu berkata, ini kerana BERSATU perlu menunggu kelulusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) berhubung laporan pindaan yang dibuat melalui Mesyuarat Agung Khas parti itu Sabtu lalu.null

“Dia (BERSATU) kena hantar laporan itu kepada ROS (dan) RoS akan buat keputusan… kalau ikut kenyataan Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul, enam orang akan buat petisyen di mahkamah pula.

“Jadi mahkamah akan bersidang, Mahkamah Tinggi kemudian Mahkamah Rayuan kemudian Mahkamah Persekutuan, panjang lagi cerita,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Projek Terminal Maritim Lumut (LMT) 2 di Batu Udan, Segari di sini, hari ini.

Kelmarin, BERSATU dilapor meluluskan Perkara 10 perlembagaan parti itu selepas mendapat sokongan 1,956 perwakilan yang hadir pada Perhimpunan Agung Khas di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Selayang.

Pindaan perlembagaan itu dibuat susulan tindakan enam Ahli Parlimen BERSATU yang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini.

Ia membabitkan Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul (Bukit Gantang); Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan); Zahari Kechik (Jeli); Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang); Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang).

Mengulas saranan Ketua Sekretariat War Room UMNO Pusat, Datuk Seri Ahmad Maslan supaya parti itu membuka ‘war room’ di enam kawasan Parlimen terbabit, Saarani berkata, UMNO Perak sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.-BH Online