Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kementerian Sumber Manusia (KSM) dijenamakan semula dan akan menggunakan akronim ‘KESUMA’ bagi sebarang urusan rasmi berkaitan kementerian itu, bermula esok.

Kementerian itu dalam satu kenyataan, hari ini, memaklumkan bahawa mesyuarat Jemaah Menteri pada Jumaat lalu mengambil maklum serta mempersetujui penjenamaan semula KSM dengan singkatan KESUMA.

Kenyataan media Kementerian Sumber Manusia

“Dalam tempoh dua bulan ini, selaras misi strategik 3K, KESUMA telah memperkukuhkan kerjasama dengan kesatuan sekerja, melaksanakan pembaharuan ke atas institusi Mahkamah Perusahaan Malaysia, tegas memberi penekanan terhadap hak gaji pekerja, dan meluaskan liputan skim keselamatan sosial.

“Ia termasuk meningkatkan kualiti latihan kemahiran serta melaksanakan beberapa langkah penambahbaikan tatakelola di semua jabatan dan agensi kementerian,” katanya.

KESUMA dipetik daripada suku kata awal frasa setiap perkataan Kementerian Sumber Manusia (KE.SU.MA), dan merupakan perkataan lama dalam bahasa Melayu yang bererti ‘bunga’.

“Keindahan maksud bahasa ini bersesuaian dengan misi strategik 3K kementerian, yakni memperkasakan ‘kebajikan, kemahiran, dan keberhasilan’ pekerja,” menurut kenyataan itu lagi. – BERNAMA