Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Sebuah bandar baharu akan dibina di sini yang bakal menempatkan pusat pentadbiran jabatan persekutuan, negeri dan daerah selari dengan status Bagan Datuk sebagai daerah ke-12 di negeri ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, projek membabitkan kawasan seluas 155.8 hektar (385 ekar) berdekatan Jambatan Sultan Nazrin itu dijangka memakan masa tiga hingga lima tahun untuk selesai pembinaan.

“Pekan Bagan Datuk sedia ada sekarang tidak boleh diperkembangkan lagi kerana masalah ketiadaan tanah.

“Pengambilalihan tanah (untuk projek bandar baru) akan diselaraskan oleh Pejabat Daerah dan Tanah dengan peruntukan daripada kementerian, jabatan, agensi masing-masing termasuk jabatan di bawah kerajaan negeri Perak.

“(Ia akan menempatkan) kompleks pejabat pentadbiran jabatan-jabatan persekutuan, pusat pentadbiran jabatan di bawah kerajaan negeri Perak, pejabat pendidikan daerah (PPD) dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) juga akan dibangunkan di tapak tadi,” katanya pada sidang media selepas melawat pameran mini usahawan bimbingan Pihak Berkuasa Pelaksana Koridor Utara (NCIA) di Dewan Dato’ Lope Hashim, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif NCIA, Mohamad Haris Kader Sultan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rungkup, Datuk Shahrul Zaman Yahya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk memaklumkan, kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM500 juta untuk kerja-kerja pelebaran Jalan Simpang Empat-Bagan Datuk daripada dua lorong kepada empat lorong.

“Selain itu, sebuah jejambat (flyover) akan dibina di Pekan Simpang Empat, Hutan Melintang bagi mengurangkan kesesakan di waktu puncak dan ketika cuti perayaan.

“Jejambat ini adalah satu perubahan yang kita harapkan sekian lama. Di bawah kerajaan Madani, perkara itu telah dapat diberikan kesinambungan,” katanya.-BH Online