Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kementerian Pertahanan memperuntukan RM244 juta melalui Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia (JHEV ATM) bagi penyediaan Skim Bantuan Kebajikan (SBK) kepada veteran ATM pada tahun ini.

Timbalan Menterinya, Adly Zahari, berkata bantuan kewangan itu adalah kesinambungan kepada program sama tahun lalu diberikan kepada Veteran ATM bertujuan untuk meringankan beban sara hidup.

“Sejumlah RM244 juta diperuntukan kepada JHEV ATM bagi penyediaan SBK meliputi aspek kesihatan, pendidikan, perumahan termasuk Bantuan Sara Hidup (BSH) sepanjang tahun ini.

“Malah, peruntukan BSH ditingkatkan tiga kali ganda pada tahun ini kepada RM174 juta, berbanding RM54 juta tahun lalu,” katanya selepas menghadiri Program Peduli Veteran ATM (PPV) Peringkat Negeri Kedah di Kampung Bubur Temonyong di sini, hari ini.

Adly berkata, sehingga 1 Mac lalu, seramai 26,551 veteran ATM di seluruh negara yang berpencen dan tidak berpencen menerima BSH sebanyak RM300 sebulan.

“Justeru, pihak kementerian beriltizam untuk terus komited mempertingkatkan PPV menerusi siri lawatan kebajikan akan datang supaya tiada veteran ATM yang terpinggir daripada menerima insentif yang disediakan.

“Sebanyak 16 program PPV dirancang untuk dilaksanakan di seluruh negara sepanjang tahun ini, termasuk membabitkan wilayah Sabah dan Sarawak,” katanya.

Mengenai program PPV, Adly berkata, pihaknya mengadakan lawatan ke empat rumah veteran ATM di sekitar Langkawi yang mengalami sakit kritikal, uzur serta hidup dalam keadaan daif.

“Kita juga menyantuni veteran ATM, Mohd Azam Ibrahim, 56, yang mengusahakan warung nasi ayam di Kampung Bubor Temonyong dan menyumbang khemah bagi kemudahannya berniaga,” katanya.-BH Online