Datuk Seri Anwar Ibrahim selamat tiba di Melbourne, malam ini, untuk memulakan lawatan rasmi sulungnya ke Australia atas jemputan rakan sejawat, Anthony Albanese.
Pesawat khas yang membawa Perdana Menteri dengan ditemani isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Melbourne Jet Base kira-kira jam 10.40 malam waktu tempatan atau 7.40 malam waktu Malaysia.
Dalam lawatannya itu, Anwar akan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Tahunan Antara Pemimpin Malaysia-Australia Kedua (ALM), esok, dan Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Australia dari 5 hingga 6 Mac ini.
Menurut kenyataan dikeluarkan Wisma Putra, Malaysia dan Australia akan mempertimbangkan langkah-langkah untuk meningkatkan spektrum kerjasama yang luas, dengan disokong oleh rangka kerja Perkongsian Strategik Komprehensif, termasuk dalam perdagangan dan pelaburan, pendidikan, ekonomi digital serta keselamatan siber.
Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Australia pula diadakan bagi memperingati ulang tahun ke-50 Hubungan Dialog ASEAN-Australia, dengan ASEAN dan Australia akan mengkaji semula situasi kerjasama semasa dan membincangkan penambahbaikan kerjasama sedia ada dalam pelbagai bidang, termasuk peralihan tenaga, pembangunan modal insan, integrasi ekonomi, kesalinghubungan serta kerjasama maritim.
Sidang kemuncak khas itu dijangka menerima pakai Pernyataan Visi Pemimpin ASEAN-Australia dan Deklarasi Melbourne sebagai dokumen panduan untuk memajukan lagi hala tuju strategik perkongsian ASEAN-Australia.
“Penyertaan Malaysia dalam ALM dan sidang kemuncak khas itu mencerminkan komitmen yang kuat untuk mengukuhkan lagi kerjasama sedia ada dengan Australia bawah rangka kerja Perkongsian Strategik Komprehensif, menerusi platform dua hala atau multilateral,” menurut Wisma Putra.
Di Melbourne, Anwar juga dijadual merasmikan Kompleks Sukan Al-Taqwa, menghadiri mesyuarat meja bulat dengan pemimpin industri, mengadakan perjumpaan perniagaan ‘seorang ke seorang’ dengan pelabur berpotensi, menyampaikan ucaptama pada Invest ASEAN Melbourne 2024, dan menjadi hos majlis makan malam untuk diaspora Malaysia.
Di Canberra pula, Anwar dijadual melakukan kunjungan hormat kepada Gabenor Jeneral Australia, David Hurley, dan menyampaikan syarahan umum di Australian National University. – BERNAMA
