Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Tiada laporan mengenai rakyat Malaysia, termasuk pelajar yang terjejas dalam insiden letupan bom di Rameshwaram Cafe di Bengaluru, India, pada Jumaat (1 Mac).

Dalam satu kenyataan, Kementerian Luar melalui Konsulat Jeneral Malaysia di Chennai memaklumkan pihaknya kini mengikuti laporan berkaitan insiden letupan yang mengakibatkan sekurang-kurangnya lapan individu cedera, termasuk tiga kakitangan kafe dan seorang pelanggan.

“Berikutan itu, semua rakyat Malaysia di Bengaluru digesa sentiasa mengikuti perkembangan terkini, mengambil langkah berjaga-jaga, mematuhi amaran perjalanan dari pihak berkuasa tempatan dan mengelakkan tempat-tempat sesak kerana siasatan berkaitan insiden masih diteruskan,” menurut kenyataan itu.

Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi Konsulat Jeneral Malaysia di Chennai di alamat: KONSULAT JENERAL MALAYSIA DI CHENNAI, No. 7 (Old No. 3) 1st Street, Cenotaph Road Teynampet, Chennai 600 018 Tamil Nadu atau melalui telefon (0091 44 2433 4434/35/36) dan e-mel mwchennai@kln.gov.my.

Menurut laporan media antarabangsa, letupan yang dipercayai berpunca daripada bom buatan sendiri itu, berlaku sejurus selepas 1 tengah hari (07:30 GMT) pada Jumaat ketika orang ramai dari pejabat berdekatan beratur untuk menjamu selera.-Astro Awani