Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Takrifan pemerkasaan Bumiputera tidak boleh hanya dilihat menerusi penguasaan ekuiti sahaja sebaliknya menerusi penyertaan, penguasaan dan pemilikan, kata Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.

Katanya, beliau melihat Dasar Ekonomi Bumiputera (DEB) berjaya kerana mengeluarkan Bumiputera dari kelompok miskin tegar dan memperkasakan pendidikan.

Beliau berkata, dasar yang digerakkan pada tahun 1970-an hingga 2000 itu kini berjaya melahirkan kelompok kelas pertengahan yang teramai di negara ini.

“Kita tidak perlu lihat pemerkasaan Bumiputera dalam soal pemilikan ekuiti sahaja, sebaliknya penyertaan, penguasaan dan pemilikan mereka secara keseluruhan.

“Dalam aspek penguasaan Bumiputera, kita lihat pengurusan tertinggi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dikuasai oleh Bumiputera,” katanya Sesi Fireside Chat: Aspirasi Masa Hadapan Bumiputera sempen Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 di sini hari ini.

Rafizi berkata, syarikat GLC dan syarikat berkaitan pelaburan kerajaan (GLIC) bukan berstatus Bumiputera namun, pengurusan utamanya dikuasai profesional bumiputera.

Menurutnya, ketika ini, kelompok menengah Bumiputera menjadi penambah nilai kepada GLC menerusi penguasaan di jawatan utama.

“Mereka ini lebih selesa makan gaji dan kekal ditahap itu. Jika nak dibanding dengan bukan Bumiputera, mereka tidak akan kekal di situ sebaliknya keluar dan buka syarikat sendiri,” ujarnya.

Pada masa sama, Rafizi menggesa kumpulan kelas pertengahan dan profesional Bumiputera yang mempunyai dana, mempertimbangkan pelaburan mereka dalam syarikat permulaan (start-up) milik Bumiputera.

Beliau berkata, usaha memperkasa dan meningkatkan Bumiputera hanya akan berjaya jika mereka mempunyai kawalan ekonomi dan pemilikan.

Meskipun berdepan dengan risiko, Rafizi melahirkan keyakinan yakin pelaburan yang berjaya dalam syarikat itu akan memberi pulangan yang menguntungkan kepada pelabur dan usahawan baharu.

“Kumpulan kelas pertengahan dan profesional dalam kalangan Bumiputera adalah besar dan ini membuka peluang kepada mereka untuk beralih daripada pelabur kepada syarikat baharu.

“Lagipun sekarang sudah 2024, bukan lagi masa untuk kerajaan terus menjadi penyumbang modal, sebaliknya ia boleh dibiayai oleh golongan kelas menengah dan profesional Bumiputera,” katanya.

Mengulas lanjut, Rafizi berkata, banyak kumpulan kelas pertengahan dan profesional cenderung menyimpan simpanan mereka di Tabung Haji (TH), Amanah Saham Bumiputera (ASB), atau Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), atau menjadi mangsa penipuan cepat kaya. .

Beliau menyarankan agar firma permodalan swasta mencari pelabur Bumiputera secara aktif, untuk menyuntik modal ke dalam usaha niaga yang baharu.

“Memang ramai pelabur seperti ini, namun kerajaan perlu memberi isyarat yang jelas supaya golongan profesional ini tahu di mana hendak melabur wang mereka, selain TH dan ASB.

“Saya akui, sekarang pun ada pelabur Bumiputera seperti ini tetapi kami perlu lebih ramai dan dasar sebagai isyarat untuk memudahkan perkara ini,” katanya.-BH Online