Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Majlis Ekonomi Bumiputera akan memantau perjalanan dan pelaksanaan segala inisiatif yang sudah dipersetujui kerajaan untuk dilaksana hasil dari Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, pemantauan itu tertumpu kepada badan-badan yang dipertanggungjawab untuk melaksana segala inisiatif diumumkan menerusi kementerian, jabatan kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta syarikat swasta.

“Ramai yang bertanya pengumuman ini kadang-kadang lunak bunyinya dan mungkin akan terpukau tetapi bagi yang lebih kritis pasti bertanya, apa seterusnya? Apakah ia hanya tinggal pengumuman.

“Sebab itu saya setuju supaya Majlis Ekonomi Bumiputera yang saya pengerusikan, akan terus memantau perjalanan dan pelaksanaannya, sama ada melalui kementerian atau jabatan kerajaan, GLC, GLIC (syarikat pelaburan berkaitan kerajaan) dan syarikat swasta, supaya apa yang saya umumkan tadi dilaksana mengikut jadual ditetapkan,” katanya pada majlis penutupan Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Anwar juga bersetuju supaya jawatankuasa pelaksana kerja yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi diwujudkan bagi memastikan inisiatif diumumkan dilaksana dengan baik.

“Sekretariat seperti mana yang sudah diputuskan di Kementerian Ekonomi, akan menentukan supaya pemantauan itu jauh lebih berkesan dan terhala,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Zahid pada sidang medianya selepas majlis itu, berkata sebuah sekretariat tetap akan ditubuhkan bawah Majlis Ekonomi Bumiputera bagi memastikan segala usul dan resolusi KEB 2024 dijayakan dengan segera.

“Semua keputusan dan resolusi yang dibentang kluster dan kumpulan ini dikumpulkan urus setia dan ia sudah dipersetujui Perdana Menteri bahawa satu sekretariat tetap bagi pelaksanaan usul dan resolusi itu mesti dilakukan dengan segera.

“Ia diletakkan bawah punca kuasa Majlis Ekonomi Bumiputera. Saya sudah diberikan tanggungjawab untuk menjadi pengerusi jawatankuasa pemandu mengambil kira keputusan dan resolusi itu yang akan mendapat pengabsahan daripada Majlis Ekonomi Bumiputera.

“Bagi jawatankuasa kerja yang dipengerusikan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, paling penting keseluruhan kluster dalam kongres sudah mengusulkan pelbagai aspek yang terkait dengan kepentingan Bumiputera tanpa meminggirkan lain-lain kaum,” katanya.-BH Online