Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Tabung Wakaf MARA MADANI akan dimanfaatkan untuk memperkasa agenda Bumiputera, terutama pendidikan orang Melayu dengan menawarkan pendidikan berkualiti dan percuma, pembangunan usahawan serta aspek lain yang berkaitan.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata beliau optimis sasaran mencapai dana terkumpul RM1 bilion yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mampu direalisasikan.

“Alumni MARA sudah mencecah lebih 2.5 juta orang yang boleh kita gemblengkan untuk mereka memberi serta memulangkan semula sumbangan dalam bentuk wakaf, dan ia boleh dimanfaatkan untuk generasi akan datang.

“Alumni kami daripada Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) hingga ke peringkat Universiti Teknologi MARA dan mereka sudah menjadi orang berada dalam pelbagai sektor profesional korporat dan sebagainya,” katanya ketika ditemui Bernama selepas Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024, di sini, hari ini.

Anwar ketika berucap pada Majlis Penutupan KEB 2024, hari ini, mengumumkan penubuhan Tabung Wakaf MARA MADANI dengan geran peluncuran berjumlah RM100 juta dan menyasarkan dana terkumpul berjumlah RM1 bilion dalam tempoh dua tahun.

Perdana Menteri berkata, sistem wakaf itu akan diterajui MARA dan dilaksanakan oleh Yayasan Pelajaran MARA, selari dengan hasrat penubuhan agensi berkenaan.

Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi berkata, MARA menjangka kertas konsep penubuhan tabung itu dapat disiapkan dalam tempoh dua bulan ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, kesudian Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, menjadi penaung Tabung Wakaf MARA MADANI akan menambah kredibiliti penubuhan tabung itu serta menjadi cerminan agenda pemerkasaan Bumiputera.

“Kita rasa bertuah kerana Yang di-Pertuan Agong sendiri sebagai ketua agama (menjadi penaung), dan wakaf ini merupakan instrumen ekonomi yang terkait dalam bidang kuasa Raja-raja Melayu yang menjadi tunjang serta tonggak kepada agama Islam.

“Sudah tentu dengan Yang di-Pertuan Agong selaku penaung, kita akan memastikan sistem dan urus tadbirnya (tabung wakaf itu) akan berada pada tahap terbaik dan (kita) akan memberi laporan dari semasa ke semasa kepada baginda,” katanya. – BERNAMA