Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertahankan tindakan beliau menyampaikan Ucapan Tahniah dah Ikrar Taat Setia di Dewan Rakyat, hari ini walaupun pembangkang mendakwa ia tidak mematuhi Peraturan Mesyuarat.
Dalam masa sama, Perdana Menteri membantah keras sikap pembangkang yang bertindak keluar Dewan Rakyat dengan menyifatkan sebagai tidak sopan dan tidak menghormati institusi Yang di-Pertuan Agong.
Memberitahu lagi, Anwar berkata ucapan beliau tiada kaitan dengan Perbahasan Titah Diraja, yang sedang berlangsung di Dewan Rakyat ketika ini.
“Saya bantah keras sikap pembangkang keluar tatkala kita nak ucap tahniah kepada Yang di-Pertuan Agong dan merafak sembah tahniah dan terima kasih atas khidmat Agong yang lalu (Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah).
“Saya sepatut datang pagi tadi tetapi kita ada kunjungan rasmi daripada Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet. Sebab itu mohon kebenaran bentang jam 2.30 sebab program Perdana Menteri Kemboja selesai pada jam 1.45 tengah hari, dan ini mengambil kira (perkara yang) harus didahulukan.
“Kalau kita terima kasih setelah akhir sidang itu tidak munasabah. Jadi sepatutnya diberikan pagi tadi,” katanya di Dewan Rakyat pada Selasa.
Menteri Kewangan itu menambah apa yang berlaku dalam negara ketika ini didakwa kerana ‘dendam kesumat’ dan cemburu buta serta tidak faham titah Yang di-Pertuan Agong.
“Saya sebutkan tadi mengapa beri keutamaan, sekali lagi saya tegaskan tidak ada kaitan dengan Titah Diraja, ini hanya tanggungjawab dewan.
“Setelah lantikan Yang di-Pertuan Agong, kita ungkapkan penghargaan… dan setelah (penamatan pemerintahan) Yang di-Pertuan Agong yang lalu, kita ucapkan terima kasih, itu sahaja,” kata Anwar lagi.
Pada masa sama, Anwar turut menegur Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang dipercayai menggaitkan penerangan yang disampaikan Perdana Menteri dengan Perbahasan Titah Diraja.
“Sepertimana kita tahu, Titah Diraja masih Titah Diraja, walaupun dalam perkara-perkara pokok dari segi dasar masih duduk kepada cadangan kerajaan.
“Tetapi Titah Diraja tentunya ada ruang untuk ditambah dan diperkukuhkan termasuk hal-hal yang menyakitkan hati mereka. Itu sebenarnya yang jadi masalah sekarang,” katanya.
Sementara itu dalam sidang media di Parlimen, Perikatan Nasional (PN) menafikan pihaknya tidak menghormati institusi Yang di-Pertuan Agong.
“Kalau peraturannya dah tak betul, kita tidak boleh menyokong perkara itu. Jadi kita tunjukkan kekecewaan kita,” kata Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Sementara itu, Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menempelak Anwar, dengan menuduh Perdana Menteri sebenarnya yang tidak menghormati institusi Yang di-Pertuan Agong.
“Bagi kami, yang sebenarnya tak menghormati Yang di-Pertuan Agong adalah Perdana Menteri. Kerana semalam dititahkan, seolah-olah tak percaya (titah) dan kena beri penerangan pula dalam Parlimen. Penerangan apa… biarlah dengan perbahasan (Titah Diraja) itu,” katanya.-Astro Awani