Sorting by

×

Timbalan Menteri Luar Malaysia Datuk Mohamad Alamin akan menyampaikan Kenyataan Negara di Majlis Hak Asasi Manusia pada 6.30 petang Selasa waktu Malaysia dan Persidangan Mengenai Pelucutan Senjata pada 4 petang Rabu waktu Malaysia.

Sesi Majlis Hak Asasi Manusia itu akan ditayangkan secara langsung melalui UN WebTV (https://webtv.un.org/en).

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Wisma Putra pada Selasa, Mohamad akan mengetuai delegasi Malaysia ke Segmen Peringkat Tinggi, Majlis Hak Asasi Manusia dan Segmen Peringkat Tinggi, Persidangan Mengenai Pelucutan Senjata pada 27 hingga 29 Feb di Geneva, Switzerland.

“Dalam Kenyataan Negara di Majlis Hak Asasi Manusia, Malaysia akan mengetengahkan kemajuan yang telah dicapai dalam mempromosi dan melindungi hak asasi manusia.

“Pada masa yang sama, Malaysia juga akan menyuarakan sokongan padu negara terhadap pembelaan hak asasi rakyat Palestin, usaha memerangi Islamofobia, cabaran-cabaran negara dalam menghadapi permasalahan berkaitan pelarian dan pemohon suaka, keperluan untuk menambah baik proses kerja di Majlis Hak Asasi Manusia dan pengukuhan kerjasama Malaysia dengan Pejabat Pesuruhjaya Hak Asasi Manusia di Geneva,” menurut kenyataan itu.

Di Persidangan Mengenai Pelucutan Senjata pula, Malaysia akan menekankan keperluan untuk masyarakat antarabangsa supaya menyegerakan pelupusan senjata nuklear dan senjata pemusnah besar-besaran (WMD), agar dunia yang bebas dari senjata WMD dapat dikecapi, menurut Wisma Putra.

Penyertaan Timbalan Menteri Luar adalah selari dengan peranan aktif Malaysia di peringkat antarabangsa, terutamanya dalam mempromosi hak asasi manusia dan keselamatan dan keamanan sejagat.

Mohamad juga dijangka mengadakan pertemuan dengan rakan sejawat dan Ketua-Ketua Organisasi Antarabangsa di Geneva bagi membincangkan isu-isu berkepentingan bersama.

Antara lain, termasuklah bertukar-tukar pandangan bagi mengukuhkan mekanisme hak asasi manusia, pemberian bantuan kemanusiaan dan mengaktifkan semula Persidangan Mengenai Pelucutan Senjata.-Bernama