Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Segala bentuk bantuan serta program dan projek pembangunan bagi mensejahterakan masyarakat luar bandar tidak terjejas susulan pengumuman kerajaan melaksana pemotongan belanja operasi bagi tahun ini ekoran krisis tenaga dihadapi global.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata biarpun bantuan terus berjalan, namun mana-mana bentuk bantuan yang kurang mengeluarkan produktiviti, akan dikurangkan biarpun tidak hapuskan.

“Malah sebelum arahan (pemotongan belanja operasi) itu dikeluarkan, kita sudah mengemukakan kepada Kementerian Kewangan (MOF) untuk mengurangkan program mempunyai kesan agak kurang berbanding dengan keutamaan-keutamaan untuk infrastruktur bekalan air, elektrik dan fasiliti luar bandar. 

“Jadi untuk majlis-majlis promosi seperti pameran produk ataupun untuk mengadakan acara-acara yang penting tetapi tidak begitu memberi kesan yang mendalam sebelum ini, kami sudah melakukan penjimatan dalam hal yang sedemikian,” katanya.

Beliau berkata demikian ditemui media pada Majlis Perhimpunan Bulan Mei Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di sini, hari ini.

Turut sama hadir, Timbalannya, Datuk Rubiah Wang dan Ketua Setiausaha KKDW, Datuk Seri Suriani Ahmad.

Ahmad Zahid berkata, sekurang-kurangnya sebanyak RM250 juta dapat dijimatkan dan perbelanjaan yang sudah diperuntukkan kepada KKDW itu akan diserahkan semula kepada MOF.

“Tentunya ini bagi menampung subsidi terhadap kos harga minyak atau tenaga yang makin meningkat. Kita harapkan semua kementerian dapat membantu ke arah ini.

“Penjelasan akan dibuat ke setiap kumpulan sasaran dan saya harap rakyat memahami situasi ini,” katanya.

Terdahulu dalam ucapan pada majlis itu, Ahmad Zahid berkata, ketika kos operasi ladang semakin meningkat daripada pembajaan, pengangkutan buah tandan segar, hinggalah penggunaan jentera dan penyelenggaraan, ia memberi isyarat jelas ekonomi desa tidak boleh dibiarkan bergerak sendirian dalam pasaran yang semakin mencabar.

“Dalam keadaan seperti ini, penyelarasan bantuan sangat penting. Subsidi masih ada tempatnya. Tetapi kita tidak boleh berhenti pada bantuan subsidi semata-mata. 

“Kalau kita hanya memberi bantuan tanpa membetulkan struktur pasaran, rakyat desa akan terus bergantung kepadanya, walhal tekanan kos akan terus datang kadang

tanpa kita sedarinya,” katanya.

Oleh sebab itu kata beliau, pendekatan kerajaan khususnya KKDW mesti berubah daripada sekadar membantu, kepada membina satu ekosistem baru mampu memberi jaminan pasaran. 

“Daripada subsidi kepada ekosistem. Daripada program kepada pasaran. Golongan ini tidak hanya perlukan bantuan, mereka perlukan pasaran yang adil, rantaian yang lebih pendek, harga yang lebih telus dan pembeli yang boleh memberi keyakinan.

“Inilah makna sebenar pembangunan ekonomi desa. Bukan hanya mengagihkan bantuan, tetapi membina keupayaan. Bukan hanya melahirkan peserta program, tetapi melahirkan pengusaha yang mampu mencipta pasaran,” katanya.-BH Online