Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

JEDDAH: Malaysia mahu Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) memperkukuh peranannya sebagai suara kolektif negara Islam di peringkat antarabangsa, khususnya dalam memperjuangkan hak rakyat Palestin.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata suara OIC perlu lebih berkesan supaya resolusi yang diputuskan tidak sekadar menjadi kenyataan tanpa tindakan susulan.

“Kita mahu supaya suara OIC ini, satu blok negara-negara Islam yang mempunyai ahli yang ramai, didengar oleh masyarakat antarabangsa.

“Kita tidak mahu suara OIC ini tenggelam begitu sahaja. Resolusi demi resolusi yang dibuat tetapi tidak ada apa-apa kesan,” katanya dalam temu bual bersama BERNAMA, hari ini.

Beliau mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Tergempar Majlis Menteri-Menteri Luar OIC di Jeddah hari ini bagi membincangkan perkembangan terkini berkaitan Palestin serta usaha memperkukuh pendirian negara anggota terhadap Israel.

Mohamad berkata, Malaysia juga mahu OIC dan Liga Arab memainkan peranan lebih tersusun dalam menangani perkembangan di Palestin, termasuk memastikan tekanan diplomatik terhadap Israel dilaksanakan secara berterusan.

Beliau berkata, antara keutamaan ialah memastikan gencatan senjata dilaksanakan serta bantuan kemanusiaan, khususnya makanan dan bekalan perubatan, dapat disalurkan kepada rakyat Palestin di Gaza.

Katanya, banyak bantuan masih tersangkut di pintu Rafah memandangkan laluan bantuan belum dibuka sepenuhnya.

“Kita berharap pihak Amerika Syarikat melihat ini dan memberikan tekanan kepada Israel supaya membuka laluan, terutamanya bantuan perubatan dan makanan yang amat diperlukan oleh rakyat Palestin khususnya di Gaza,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamad berkata, mesyuarat hari ini bersepakat untuk melantik Ismail Ould Cheikh Ahmed dari Mauritania sebagai Setiausaha Agung OIC yang baharu.

Beliau berkata, pelantikan Ismail diyakini dapat membantu memperkukuh peranan pertubuhan itu berdasarkan pengalaman luas beliau di peringkat antarabangsa.

Katanya, Ismail mempunyai pengalaman berkhidmat di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan pernah menjadi Menteri Luar Mauritania.

“Kita yakin dengan latar belakang Ismail yang banyak pengalaman dan bertugas di PBB, beliau akan dapat memainkan peranan lebih berkesan untuk membawa suara negara-negara Islam, kumpulan negara-negara Islam iaitu OIC, ke tahap lebih tinggi lagi,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, pendirian yang diputuskan pada Mesyuarat Tergempar Majlis Menteri-Menteri Luar OIC hari ini perlu dibawa ke peringkat ketua negara anggota sebelum diketengahkan di PBB.

Katanya, perkara itu perlu dibincangkan di peringkat PBB dan seterusnya dibawa ke Majlis Keselamatan PBB bagi mendapatkan keputusan yang mempunyai kesan lebih nyata.

“Membahas di peringkat Perhimpunan Agung PBB itu tidak akan membawa apa-apa makna jika ia tidak diputuskan dan tidak dibuat keputusan di peringkat Majlis Keselamatan PBB,” katanya. -BH Online