Sorting by

×
Screenshot
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Seramai 1,476 orang daripada 5,000 pelarian warga Myanmar akan dihantar pulang ke negara asal pada 29 September ini menerusi fasa pertama Program Penghantaran Pulang Secara Sukarela yang dilaksanakan kerajaan melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN).

KDN berkata, individu terbabit sudah dikenal pasti oleh Kerajaan Myanmar menerusi Nota Diplomatik No. 649/47 01(2026) bertarikh 13 Ogos lalu.

“Tarikh berkenaan dipersetujui dalam mesyuarat penyelarasan membabitkan KDN, Kementerian Luar, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Pertahanan (MINDEF) selepas mengambil kira keperluan logistik dan penyelarasan, berbanding cadangan asal kerajaan Myanmar pada 28 Ogos tahun ini.

“KDN memuktamadkan fasa pertama program penghantaran pulang secara sukarela 5,000 pelarian rakyat Myanmar yang layak ke negara asal.

“Program itu dilaksanakan secara selamat, bertanggungjawab dan mengikut prosedur yang dipersetujui bersama Kerajaan Myanmar,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memaklumkan Myanmar bersetuju menerima semula 5,000 pelarian negara itu yang berada di Malaysia, hasil rundingan diplomatik dan hubungan baik kedua-dua negara.

Ia adalah langkah awal menangani isu berkenaan, selain memastikan isu ketenteraman awam di Malaysia terus terpelihara.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, turut mengesahkan etnik Rohingya tergolong dalam 5,000 pelarian di negara ini yang akan dihantar pulang ke Myanmar, namun enggan mendedahkan had masa ditentukan bagi pelaksanaan proses berkenaan.

KDN berkata, proses penghantaran pulang itu akan menggunakan dua kapal perang dan sebuah kapal hospital milik Tentera Laut Myanmar.

Tahun ini, katanya, seramai 4,008 individu terutama etnik Rohingya akan dijalurkan kepada Program Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP), manakala 5,000 individu yang lain akan menjalani proses penghantaran pulang secara sukarela ke Myanmar secara berperingkat.

“Sehingga 15 Ogos lalu, seramai 10,388 warga Myanmar berada di Depot Tahanan Imigresen, merangkumi rakyat Myanmar dan tidak boleh dianggap keseluruhannya sebagai pelarian,” katanya.

KDN berkata, Jabatan Imigresen (Imigresen) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) melaksanakan proses DPP bagi mengesahkan identiti, kewarganegaraan, status imigresen, tuntutan pelarian dan latar belakang keselamatan setiap individu.

“Proses pendaftaran DPP bagi kumpulan terbabit dijangka dapat diselesaikan pada suku keempat tahun ini,” katanya.

KDN berkata, strategi kerajaan dalam menangani isu berkenaan terbahagi kepada dua cabang yang saling melengkapi.

Ia termasuk melakukan rundingan diplomatik dengan Myanmar bagi memastikan pengambilan semula rakyat negara itu dapat dilaksanakan secara berperingkat, teratur dan bertanggungjawab.

“Cabang kedua, melaksanakan pendaftaran dan pendatang individu yang mendakwa sebagai pelarian dan pemohon suaka melalui program DPP bagi membolehkan kerajaan memperoleh maklumat yang menyeluruh dan tepat mengenai keberadaan golongan tersebut.

“Data itu seterusnya dapat digunakan bagi tujuan pemantauan, penguatkuasaan dan perancangan pengurusan serta penyelesaian akhir, termasuk penghantaran pulang ke negara asal apabila keadaan mengizinkan,” katanya.

Menurut KDN, usaha penghantaran pulang itu memerlukan data tepat dan terkini mengenai individu terbabit, manakala pelaksanaan pendaftaran melalui DPP perlu disokong oleh hala tuju penyelesaian yang jelas.

Katanya, ia bagi memastikan mekanisme berkenaan tidak sekadar menjadi suatu bentuk pendaftaran, tetapi menjadi sebahagian daripada pendekatan kerajaan yang lebih menyeluruh terhadap pengurusan pelarian dan pemohon suaka. -BH Online