Sorting by

×

Perdana Menteri Kemboja Hun Manet yang sedang dalam lawatan rasmi sehari ke Malaysia, hari ini mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini untuk berbincang mengenai hubungan dua hala antara kedua-dua negara.

Ini merupakan lawatan pertama Hun Manet ke Malaysia sejak dilantik sebagai Perdana Menteri Kemboja pada Ogos lepas.

Ketibaan Hun Manet di bangunan Perdana Putra yang menempatkan pejabat perdana menteri, disambut oleh Anwar pada kira-kira pukul 10.15 pagi.

Sebaik tiba Perdana Menteri Kemboja diberi sambutan rasmi di Dataran Perdana di sini, dan lagu kebangsaan kedua-dua negara dimainkan, sebelum Hun Manet dibawa memeriksa Kawalan Kehormatan Utama oleh Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja.

Turut hadir bagi menyambut kedatangan Hun Manet ialah kedua-dua Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof, serta beberapa menteri kabinet, dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Kedua-dua pemimpin kemudian dibawa ke Aras Tiga bangunan Perdana Putra di sini untuk memulakan mesyuarat dua hala, dan beberapa memorandum persefahaman dijangka ditandatangani, diikuti dengan sidang media bersama.

Wisma Putra dalam kenyataan hari ini berkata semasa lawatan rasmi itu, Hun Manet akan diiringi Timbalan Perdana Menteri Kemboja merangkap Menteri Luar Negeri dan Kerjasama Antarabangsa negara itu Sok Chenda Sophea, serta menteri-menteri Kabinet dan pegawai-pegawai kanan kerajaan Kemboja.

Hun Manet juga dijadualkan mengadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, di Istana Negara.

Dalam mesyuarat dua hala itu, perbincangan kedua-dua pemimpin akan tertumpu kepada soal kemajuan hubungan dua hala yang berterusan, khususnya kerjasama dalam perdagangan dan pelaburan, pertanian dan komoditi, industri halal, tenaga, keselamatan, maklumat dan komunikasi, serta peranan Malaysia dalam pembangunan sosio-ekonomi masyarakat Islam di Kemboja.

Kedua-dua pemimpin juga akan menyaksikan pertukaran Memorandum Kerjasama dalam Inovasi Kewangan dan Sistem Pembayaran antara Bank Negara Malaysia dan National Bank of Cambodia.

Hun Manet juga dijadual bertemu dengan Yang Dipertua Negara Datuk Mutang Tagal dan Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Dr Johari Abdul.

Lawatan rasmi ini akan mengukuhkan lagi nilai tambah kepada hubungan yang lebih erat antara Malaysia dan Kemboja, secara dua hala dan dalam rangka kerja ASEAN, kata Wisma Putra.

Kemboja adalah salah satu negara terawal menjalin hubungan diplomatik dengan Malaysia pada tahun 1957. Pada tahun 2023, Kemboja disenaraikan sebagai rakan dagang ke-9 terbesar Malaysia di rantau ASEAN.

Nilai perdagangan dua hala antara Malaysia dan Kemboja berjumlah RM3.02 bilion, dengan eksport dari Malaysia ke Kemboja bernilai RM2.35 bilion, peningkatan 1.6 peratus daripada tahun sebelumnya.

Syarikat Malaysia telah melaksanakan 162 projek di Kemboja, dengan pelaburan berjumlah RM14.4 bilion.-Bernama