Sorting by

×

Jabatan Wilayah Persekutuan akan bekerjasama dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk memeriksa sistem penggera kebakaran di perumahan awam di Wilayah Persekutuan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa, berkata itu perkara yang sepatutnya dilakukan oleh kedua-dua pihak berkenaan bagi memastikan sistem penggera kebakaran dan keselamatan berfungsi sewaktu kecemasan.

“Saya ada juga dengar semalam yang ada masalah dengan paip bomba, jadi kita akan kerjasama dengan bomba dan KPKT. 

“Kita bimbang ketika waktu kecemasan, alat pemadaman tidak boleh digunakan kerana dalam keadaan rosak yang mungkin disebabkan pelbagai faktor termasuk vandalisme,” katanya. 

null

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat dan menyerahkan sumbangan kepada mangsa kebakaran di Blok 70 Flat Sri Sabah di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Cheras, Cheras di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad; Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Kamarulzaman Mat Salleh; Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kuala Lumpur, Muhammad Salleh Abdul. 

Terdahulu, Zaliha menyerahkan setiap keluarga yang terbabit turut menerima sumbangan tunai berjumlah RM7,300.

Sumbangan itu termasuk RM5,000 dari Jabatan Wilayah Persekutuan manakala dari DBKL dan Pejabat Ahli Parlimen Bandar Tun Razak masing-masing sebanyak RM1,000 serta RM300 dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam Ahad lalu, kebakaran itu membabitkan enam unit tingkat 17 blok 70 Flat Sri Sabah yang dihuni 11 mangsa daripada lima keluarga.

Ketika ini hanya lima mangsa ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di SK Seri Cheras manakala 11 orang lagi menumpang di rumah saudara.-BH Online