Sorting by

×

Bekalan bekalan elektrik dan air di Johor berada pada tahap lebih daripada mencukupi, bagi menampung keperluan rakyat dan permintaan industri serta pelaburan.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata bagi bekalan elektrik di seluruh Johor mempunyai kapasiti terpasang sebanyak 10,476 megawatt (mw), jauh lebih tinggi berbanding permintaan maksimum iaitu 2,804 mw.

Katanya, lebihan sebanyak 75 peratus bekalan elektrik yang boleh dimanfaatkan pelbagai sektor ekonomi di Johor termasuk kawasan perindustrian dan pertumbuhan.

“Tenaga Nasional Berhad (TNB) juga menggunakan kaedah persefahaman dengan pemaju bagi membangunkan infrastruktur baru membabitkan kos ditanggung pemaju dan TNB 50-50, namun selepas pemaju mencapai penggunaan yang ditetapkan wang kos akan dikembalikan. 

“Kaedah itu dapat merancakkan pengembangan kawasan perindustrian.

“Bagi bekalan air pula, Ranhill SAJ memaklumkan terdapat 16 projek sedang berjalan termasuk tiga projek dalam bentuk kajian, manakala 13 projek sudah mempunyai peruntukan pelaksanaan. Dari segi jangka pendek dan sederhana permohonan perindustrian untuk air ini mencukupi.

“Satu daripada 13 projek ini sudah siap, bakinya akan siap secara berperingkat pada tahun ini dan tahun depan dengan penambahan kapasiti bekalan air sebanyak 1,170 juta liter sehari. Ia akan menambahkan rezab air kita sebanyak 18 peratus. Ianya adalah berita baik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas membuat lawatan kerja di Pencawang Masuk Utama (PMU) Kota Masai dan Empangan Layang di Pasir Gudang di sini, hari ini.

Menurut Onn Hafiz, dengan bekalan asas yang mencukupi ini, pihaknya yakin situasi itu akan menarik lebih ramai pelabur untuk membuat pelaburan di Johor.

Katanya, ia sekali gus menafikan khabar angin yang sebelum ini mengatakan bekalan air dan elektrik di Johor tidak mencukupi.

“Sebelum ini terdapat suara-suara yang mengatakan bekalan elektrik dan air tidak cukup di Johor, perkara itu tidak benar.

“Kita menggalakkan pemain industri dan pelabur untuk melihat Johor sebagai lokasi destinasi utama dalam pelaburan mereka,” katanya.

Di Johor, TNB mempunyai sebanyak 105 PMU, 108 Pencawang Pembahagian Utama (PPU) dan 15,643 Pencawang Elektrik (PE) yang meliputi 12 kawasan perniagaan seluruh Johor.-BH Online