Sorting by

×

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengesahkan Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) secara sukarela.

Mohamed Khaled berkata, sebelum ini beliau hanya merujuk kepada kenyataan media LTAT bertarikh 8 Februari yang mengumumkan persaraan Raja Mohamed Affandi.

Sebaliknya, beliau berkata, Raja Mohamed Affandi bukannya bersara, namun meletakkan jawatannya secara sukarela.

“Sebelum ini saya gunakan apa disiarkan menerusi kenyataan media. Sebab LTAT pun gunakan itu (kenyataan media).

“Dia (Raja Mohamed Affandi) meletakkan jawatan sebenarnya. Secara sukarela. Tak ada isu tentang itu,” katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan Majlis “Kick-off” Kajian Separuh Penggal Kertas Putih Pertahanan, di sini, hari ini.

Terdahulu, selepas LTAT mengeluarkan kenyataan mengumumkan persaraannya, Raja Mohamed Affandi menjelaskan beliau tidak bersara daripada menjadi pengerusi sebaliknya meletakkan jawatan.

Beliau berkata, mengikut kontrak, tempoh perkhidmatannya sebagai Pengerusi LTAT akan tamat pada Ogos tahun ini.

Raja Mohamed Affandi juga menjelaskan bahawa perletakkan jawatannya untuk memelihara keberadaan institusi LTAT dengan sebaiknya.

Dalam pada itu, bertanyakan tentang cadangan Menteri Perumahan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming baru-baru ini, Mohamed Khaled berkata, beliau tegas mengikut pendirian UMNO.

“Saya ikut UMNO, kalau UMNO tidak setuju, saya pun tidak setuju,” katanya ringkas.

Terdahulu Kor Ming mencadangkan untuk mencalonkan kampung-kampung baru Cina di Selangor sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, meskipun ianya adalah untuk memperkasakan sektor pelancongan negara, UMNO berpandangan implikasinya terlalu besar dan menyentuh kedudukan Melayu-Bumiputera secara tidak langsung. – Kosmo! online