Sorting by

×

Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) telah merasmikan pembukaan Pusat Rehabilitasi Perkeso Shah Alam dengan kerjasama bersama Management & Science University (MSU) Medical Centre, 8 Februari lalu.

Pembukaan Pusat Rehabilitasi tersebut membuktikan komitmen Perkeso dalam meningkatkan kualiti perkhidmatan dengan teknologi terkini kepada individu yang memerlukan, khususnya di sekitar Lembah Klang.

Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, kerjasama tersebut membolehkan kedua-dua institusi untuk terus meningkatkan penyampaian perkhidmatan rehabilitasi dan rawatan neuro-robotik.

Beliau berkata, Perkeso juga bakal memperluas perkhidmatan di Pusat Rehabilitasi Perkeso Shah Alam dengan memperkenalkan program neuromodulasi dalam masa terdekat.

“Program ini bertujuan untuk meningkatkan lagi kualiti dan keberkesanan rawatan rehabilitasi, khususnya bagi mereka yang mengalami gangguan saraf.

“Ini menunjukkan komitmen Perkeso dalam menghadirkan inovasi terkini dalam bidang pemulihan dan rehabilitasi, selaras dengan misi untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada Orang Berinsurans Perkeso dan individu yang memerlukan,” jelasnya.

Sementara itu, Presiden MSU, Prof. Tan Sri Datuk Dr. Mohd Shukri Ab. Yajid berkata, kerjasama pintar yang telah dimeterai bakal memperkasakan lagi peranan pusat perubatan tersebut khasnya kepada ahli Perkeso.

“Dengan kerjasama ini, kami dapat memberikan perkhidmatan kesihatan dan sokongan kepada golongan yang memerlukan.

“Ia juga bakal memberikan impak positif dan komprehensif kepada kerjasama pintar diantara pihak swasta dan awam mengikut bidang kepakaran masing-masing,” ujarnya.

Pusat Rehabilitasi Perkeso Shah Alam, yang terletak di Tingkat 10 MSU Medical Centre menyediakan rawatan pemulihan menyeluruh dengan menggunakan peralatan robotik terkini, memastikan intervensi awal dan rehabilitasi intensif untuk pelbagai keadaan pesakit.

Sejak beroperasi pada 3 Julai 2023, pusat ini telah berjaya memberi rehabilitasi kepada 151 Orang Berinsurans Perkeso. – Kosmo! Online