Sorting by

×

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Lama, Norlizah Noh digugurkan daripada EXCO Kerajaan Negeri Johor dalam penstrukturan semula portfolio bagi tahun 2024 hingga 2027.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata tempat Norlizah digalas oleh ADUN Tanjung Surat, Aznan Tamin.

Beliau berkata, pelantikan dan penstukturan semula portfolio EXCO Kerajaan Negeri itu diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Iskandar.

“Patik juga menjunjung kasih kepada Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim atas perkenan pelantikan dan penstrukturan semula portfolio EXCO Kerajaan Negeri serta berangkat ke Istiadat Pelantikan Yang Berhormat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Johor yang baharu hari ini.

“Tahniah kepada Aznan yang mengangkat sumpah memegang jawatan EXCO Kerajaan Negeri Johor. Semoga apa yang dititahkan kepada beliau dapat dilaksana dan digalas dengan baik.

“Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada bekas EXCO Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi Negeri, Norlizah atas segala khidmat dan bakti yang dicurahkan kepada negeri dan bangsa Johor.

“Saya percaya dan yakin pelantikan dan penstrukturan semula portfolio barisan EXCO ini mampu memacu negeri ke arah lebih baik dan semuanya berupaya menggalas tugas dan tanggungjawab diberikan dengan penuh amanah, dedikasi dan integriti,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Onn Hafiz berkata, selain pengguguran Norlizah, portfolio yang dipegangnya ditambah dengan portfolio Pelancongan.

Ia menjadikan portfolio Menteri Besar merangkumi EXCO Hasil Bumi, Pentadbiran, Kewangan, Perancangan, Pembangunan Ekonomi dan Pelancongan Negeri. 

“Barisan empat EXCO yang kekal iaitu ADUN Buloh Kasap, Datuk Zahari Sarip (EXCO Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri), ADUN Bukit Permai, Datuk Mohd Jafni Md Shukor (EXCO Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri), ADUN Semerah, Mohd Fared Mohd Khalid (EXCO Hal Ehwal Agama Islam Negeri) dan ADUN Serom, Khairin Nisa Ismail (EXCO Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri).

“Bagi lima EXCO yang berubah portfolio adalah ADUN Tenggaroh, K Raven Kumar (EXCO Perpaduan, Warisan dan Budaya Negeri), ADUN Larkin, Mohd Hairi Md Shah (EXCO Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri) dan ADUN Yong Peng, Ling Tian Soon (EXCO Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri).

“Turut berubah ADUN Paloh, Lee Ting Han (EXCO Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri) dan ADUN Bukit Pasir, Mohamad Fazli Mohamad Salleh (EXCO Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Negeri).

“Insya-Allah, saya bersama barisan EXCO ini akan berusaha sehabis baik untuk memacu negeri Johor ke satu tahap yang lebih baik demi kesejahteraan rakyat Johor,” katanya.

Pagi tadi, difahamkan berlangsung Istiadat Pelantikan EXCO Kerajaan Johor yang berlangsung di Balai Mengadap, Istana Bukit Serene di hadapan Tunku Ismail.-BH Online