Sorting by

×

Komuniti MADANI di seluruh negara perlu memainkan peranan meningkatkan pemahaman rakyat mengenai isu keselamatan dalam talian.

Ia berikutan beberapa platform media sosial seperti aplikasi Telegram dan WhatsApp terdedah kepada penyalahgunaan dan penyebaran berita palsu.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil turut menyarankan Komuniti MADANI berkongsi pautan segmen ‘Biar Betul’ yang disiarkan di TV1 setiap hari kepada masyarakat, bagi menangkis sebarang penyebaran berita tidak sahih.

“Saya pohon disiplin pertama dari kalangan kawan-kawan dalam Komuniti MADANI ialah untuk kita mempunyai keupayaan membantu komuniti kita mengesahkan maklumat yang sampai kepada kita. Ia tidak akan bermula, kalau tidak bermula dengan kita, apakah caranya? Komuniti MADANI antara caranya untuk kita mengesahkan maklumat.

“Saya harap rakan-rakan Komuniti MADANI juga bila terima link untuk segmen Biar Betul pada hari tersebut, sekitar pukul 9.00, 9.30 malam, tolong klik like, repost, share. Ini adalah berita yang sahih, yang mana kita menangkis fitnah, kita memperbetulkan persepsi yang salah”, katanya.

Beliau berkata susulan pelbagai masalah dikaitkan dengan media sosial seperti isu hak cipta dan perjudian dalam talian, Jemaah Menteri baru-baru ini telah menubuhkan jawatankuasa teknikal bagi meneliti undang-undang membabitkan keselamatan dalam talian.

Fahmi berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amanat dan Taklimat Pusat Ekonomi Digital (PEDi) bersama Komuniti MADANI Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya di ibu negara.-Berita RTM