Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kerajaan Perpaduan akan terus memberikan sokongan kepada badan kehakiman negara untuk meneraju institusi itu secara bebas.

Pemerkasaan itu akan memastikan kes di mahkamah akan dibicarakan secara saksama tanpa sebarang bentuk gangguan daripada pihak Eksekutif.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata langkah itu adalah penting untuk melindungi integriti mahkamah kerana ia memelihara imej baik Malaysia di peringkat antarabangsa.

“Saya amat menghargai jasa mereka yang terlibat dalam Badan Kehakiman kerana ia penting dalam menilai mengurus pentadbiran dan keadilan di negara selain pemerkasaan undang-undang untuk masyarakat.”

“Mereka jugalah yang akan memastikan undang-undang digunakan secara adil dan tidak sewenang-wenangnya,” kata Fadillah ketika berucap sempena Perbincangan panel dan Pelancaran Buku Rayuan Sivil dan Jenayah di Malaysia edisi keempat, di ibu negara.

Pelancaran buku yang ditulis oleh peguam bela Mahkamah Tinggi di Sabah dan Sarawak, Tan Kee Heng itu disempurnakan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat.

Beliau turut berharap pelancaran buku itu terus menjadi sumber panduan untuk semua mereka yang berusaha untuk mengemudi kerumitan rayuan sivil dan jenayah di Malaysia.-Berita RTM