Sorting by

×

Lebih banyak tumpuan dan peluang akan disediakan menerusi Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) berteknologi tinggi kepada golongan belia dalam kalangan masyarakat India kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Majlis TVET Negara berkata perkara berkenaan akan membantu meningkatkan taraf hidup golongan itu selain mengatasi masalah sosial.

“Saya juga menyarankan agar disediakan tempat yang lebih banyak kepada generasi muda dalam kalangan masyarakat India terutama lepasan sekolah termasuk yang tercicir daripada pendidikan untuk kerajaan salurkan bantuan melalui TVET.

“Kita akan sesuaikan minat mereka dalam bidang tertentu untuk dilatih dalam TVET dan bekerjasama dengan institusi dan universiti teknikal di India,” katanya dalam Majlis Sambutan Ponggal Perpaduan 2024 di sini.

Dalam pada itu Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) menyarankan agar lebih banyak tempat disediakan untuk anak-anak muda India lepasan sekolah dan yang tercicir dalam pendidikan, di institusi TVET.

Antara bidang TVET berteknologi tinggi dikenal pasti ialah kecerdasan buatan (AI), kenderaan elektrik (EV) dan teknologi berkaitan hidrogen yang membolehkan lepasan pelajar TVET mempunyai kemahiran tinggi dan dapat terus bekerja dalam sektor penting.

Ahmad Zahid turut menyampaikan bantuan tablet kepada 200 orang pelajar institut pengajian tinggi seluruh negara pada majlis itu.

Sementara itu, Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran turut menyambut baik usaha tersebut.-Berita RTM