Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Idris Shah, berkenan menyantuni mangsa banjir di tiga pusat pemindahan sementara (PPS) di Kota Tinggi, petang tadi.

Baginda berangkat ke PPS Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) New Kota yang menempatkan 205 mangsa banjir daripada 52 keluarga, sebelum ke PPS Sekolah Kebangsaan Laksamana yang menempatkan 243 mangsa daripada 56 keluarga.

Baginda turut berangkat ke PPS Sekolah Rendah Agama Bersepadu Kota Tinggi yang menempatkan 185 mangsa daripada 50 keluarga.

Raja Zarith Sofiah juga berkenan meluangkan masa beramah mesra bersama mangsa banjir dengan bertanyakan khabar dan keadaan mereka.

Dalam lawatan baginda juga mengurniakan kit penjagaan kebersihan diri kepada setiap keluarga di PPS menerusi Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor (YRZSNJ), selain menyampaikan kurniaan sumbangan peribadi.

Turut disampaikan bakul makanan daripada Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) serta bantuan lain daripada Jawatankuasa Khidmat Masyarakat (JKM), Kesihatan Kebangsaan Bulan Sabit Merah Malaysia dan Southern Volunteers (SV).

Baginda juga diberikan taklimat oleh Pegawai Daerah Kota Tinggi, Ahmad Nazir Mohd Nasir mengenai tebatan banjir di Kota Tinggi, serta rancangan yang diambil kerajaan negeri dalam mengatasi masalah bencana alam berkenaan.-BH Online