Sorting by

×

Penduduk di Selatan tanah air diminta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan agensi kerajaan lain bagi menghadapi luluran gelombang keempat Monsun Timur Laut (MTL).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, susulan kejadian banjir yang kembali melanda Johor kini, beliau melihat kerjasama antara kesemua agensi bagi menghadapi MTL dilihat bertambah baik berdasarkan pengalaman sebelum ini.

Katanya, kerajaan negeri dan seluruh agensi terlibat juga telah memobilisasikan aset dan kemudahan-kemudahan yang disediakan.

“Luluran gelombang keempat MTL telah beralih ke Selatan dan saya harap tindakan-tindakan segera dilakukan mengikut SOP yang telah ditetapkan oleh Nadma, Angktan Pertahanan Awam (APM) dan agensi-agensi terlibat,” katanya dalam sidang media ketika melakukan lawatan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Kampung Orang Asli Sungai Ruil, di sini, hari ini.

Seramai 88 mangsa dari 17 keluarga Orang Asli Sungai Ruil ditempatkan di PPS susulan kejadian tanah runtuh yang berlaku 12 Oktober lalu.

Mengulas lanjut kejadian banjir yang melanda Johor, Ahmad Zahid yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara berkata, jumlah mangsa di negeri terbabit menunjukkan peningkatan.

“Setakat ini sebanyak lima buah daerah terlibat dan beberapa PPS telah dibuka untuk menempatkan mangsa banjir,” katanya. -Kosmo! Online