Jabatan Imigresen (JIM) Putrajaya menahan lebih 100 warga asing dalam operasi di sekitar Brickfields tengah hari tadi selepas menerima aduan penduduk tempatan mengenai kebanjiran warga asing di kawasan itu.
Dalam operasi bermula jam 1 tengah hari itu, seramai 370 warga asing dari India, Bangladesh, Pakistan, Sri Lanka, Nepal, Filipina, Myanmar dan Indonesia diperiksa.
Timbalan Ketua Pengarah, Bahagian Operasi JIM Putrajaya, Jafri Embok Taha, berkata pihaknya menggempur 30 premis termasuk kediaman, kedai pakaian, restoran, kedai gunting rambut, kedai barangan kecantikan dan kedai serbaneka di sekitar Jalan Thamby Abdullah, selain warga asing yang berjalan kaki melalui kawasan berhampiran.
“Dalam operasi ini, sebahagian warga asing yang ditahan didapati tidak memiliki dokumen pengenalan diri, melanggar syarat pas, tinggal melebihi masa dibenarkan serta pemegang kad yang tidak diiktiraf.
“Malah, ada juga sebahagian mereka didapati melanggar syarat-syarat di bawah Akta Imigresen,” katanya yang mengetuai serbuan itu.
Jafri Embok berkata, semua 370 warga asing itu dikumpulkan di kawasan lapang tempat letak kereta di Jalan Thamby Abdullah untuk pemeriksaan dokumentasi sebelum mereka yang melakukan kesalahan Imigresen dibawa ke Ibu Pejabat JIM, Putrajaya.
Katanya, hasil pemeriksaan awal lebih 100 warga asing dikesan tidak memiliki dokumen pengenalan diri dan melakukan pelbagai kesalahan lain di bawah Akta Imigresen.
“Dalam operasi ini kita turut berdepan dengan beberapa situasi di mana warga asing cuba melarikan diri, namun pegawai dan anggota yang berpakaian preman yang sudah mengepung kawasan itu dari awal berjaya menahan mereka.
“JIM akan terus memberikan tumpuan terhadap lokasi-lokasi panas didiami warga asing dari pelbagai negara yang disyaki melakukan pelbagai kesalahan Imigresen,” katanya.
Operasi yang berakhir jam 3 petang tadi disertai sepasukan 224 pegawai dan anggota JIM Putrajaya, manakala 11 pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan enam pegawai Angkatan Pertahanan Awam.
Mengulas mengenai pendaftaran Program Rekalibrasi Pekerja Asing 2.0, yang berakhir semalam selepas dua tahun dilaksanakan, Jafri berkata, selepas ini agensi itu akan menjalankan proses pengesahan permohonan yang sudah dibuat sehingga 31 Mac ini.
Selepas 31 Mac, tindakan akan diambil terhadap pekerja asing yang belum melalui proses pengesahan berkenaan terutama mereka yang selama ini memegang kad RTK sebagai alasan semasa pemeriksaan dokumentasi.-BH Online