Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

DENGAN kepesatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam dunia digital yang semakin pantas dan sentiasa berubah pada masa kini menyebabkan sesuatu kes jenayah semakin kompleks untuk diselesaikan.

Cabaran semakin besar jika keupayaan sesebuah agensi penyiasatan tidak dilengkapi peralatan atau perisian canggih serta pegawai yang berkepakaran untuk merungkai jawapan membabitkan kes yang disiasat sama ada kes berprofil tinggi mahupun kes memerlukan pembacaan data digital.

Justeru, dalam usaha untuk memperkukuhkan sesuatu siasatan yang dijalankan, teknologi digital cukup meluas digunakan masa kini kerana ia bukan sahaja mampu membantu memendekkan tempoh siasatan, tetapi fokus siasatan juga dapat diperhalusi. Oleh itu, kepentingan penyiasatan digital forensik amat relevan terutama dalam menyelesaikan kes jenayah, melindungi individu dan organisasi sekali gus menegakkan keadilan.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak ketinggalan memiliki kepakaran dalam kaedah penyiasatan digital melalui penubuhan Unit Forensik Komputer di bawah Bahagian Siasatan pada 2003. Unit ini kemudian dikembangkan menjadi Cawangan Forensik dan Teknologi pada 2006 dan berupaya menganalisis komputer serta telefon bimbit.

Selari dengan transformasi Badan Pencegahan Rasuah (BPR) kepada SPRM pada 2009, cawangan ini dijenamakan kepada Bahagian Forensik Teknologi (BFT) sehingga kini.

Bahagian ini memiliki lima cawangan iaitu Cawangan Forensik Komputer; Cawangan Forensik Telefon Bimbit; Cawangan Forensik Audio/Video; Cawangan Forensik Dokumen serta Cawangan Rekod dan Pentadbiran.

Bahagian ini adalah tulang belakang yang menyumbang kepada kejayaan membongkar penyelewengan dan amalan rasuah. Antara operasi berskala besar yang mengguna pakai perkhidmatan BFT adalah Op Pasir (2010), Op Sealord (2015), Op Water (2016), Op Mysikap (2019), dan Op Hack (2021).

Dalam operasi kes ini, BFT turut turun ke lokasi bagi mengenal pasti bahan bukti digital. BFT seterusnya membuat pemeriksaan, menganalisa dan mengeluarkan laporan pemeriksaan forensik digital bagi ekshibit seperti peranti elektronik, komputer dan telefon pintar yang telah disita semasa operasi.

Antara kekuatan BFT juga dapat menganalisis dengan terperinci terhadap pengubahsuaian dokumen, tandatangan dan tulisan tangan.

Data yang didapati daripada ekshibit itu dapat mengukuhkan pembuktian di mahkamah. Dalam usaha meningkatkan reputasi BFT, SPRM kini dalam proses mendapatkan pensijilan ISO (International Organization For Standardzation) daripada pihak Jabatan Standard Malaysia (JSM) bagi makmal forensik digitalnya termasuk kualiti tatacara kerja forensik yang dijalankan.

Jika pensijilan ISO ini berjaya diperoleh, ia akan menjadikan makmal forensik digital pertama di Malaysia yang mendapat pengiktirafan daripada JSM bagi keseluruhan empat makmal iaitu Makmal Forensik Komputer, Makmal Forensik Telefon bimbit, Makmal Forensik Audio/Video dan Makmal Forensik Dokumen.

Selain itu, dengan adanya pensijilan ISO ini juga, siasatan dan bukti yang dikemukakan SPRM akan lebih diiktiraf dan diperakui di mahkamah. Sehingga kini, hampir 99 peratus kes yang dikendalikan Bahagian Forensik Teknologi ini diterima mahkamah sebagai bahan bukti.

Bagaimanapun, ia bukan satu tugas mudah kerana ia perlu melalui beberapa proses yang ketat selain mematuhi piawaian antarabangsa yang tinggi. Pada masa sama, SPRM turut memberi penekanan kepada usaha meningkatkan pengetahuan dan mempertajamkan kepakaran pegawainya dalam menyiasat kes jenayah siber dan digital. Untuk itu, mereka dihantar menerima latihan secara berterusan di dalam dan luar negara.

Pegawai di BFT dilengkapi dengan pelbagai bentuk ilmu kemahiran dan kepakaran yang boleh dianggap ‘dua langkah ke hadapan’, malah kehebatan BFT ini menyebabkan pihak SPRM sering dihubungi oleh agensi penguatkuasaan lain untuk mendapatkan bantuan dan kerjasama bagi menyelesaikan sesuatu kes digital yang kompleks.

Justeru, satu Kumpulan Kerja Forensik Digital (KKFD) dibentuk oleh agensi yang mempunyai makmal forensik digital seperti CyberSecurity Malaysia (CSM), SPRM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), Angkatan Tentera Diraja Malaysia (ATM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Bank Negara Malaysia (BNM), Jabatan Penjara Malaysia, Jabatan Peguam Negara (AGC) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

KKFD ini menggabungkan pegawai makmal forensik digital dari pelbagai agensi penguat kuasa untuk berkongsi maklumat dalam bidang jenayah siber dan keterangan digital. Bagi Sesi 2023-2024, SPRM dilantik sebagai peneraju KKFD yang Timbalan Pengarah BFT, Wan Zulkifili Wan Jusoh dipilih sebagai Pengerusi KKFD pada sesi kali ini.

Bagi memantap dan memperkukuhkan kerjasama antara agensi, KKFD kini dalam proses pendaftaran di Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) sebagai sebuah pertubuhan. Ia akan berfungsi sebagai platform untuk berkongsi pengetahuan, kepakaran, amalan terbaik dan pandangan pihak ketiga dalam menjalankan siasatan digital.

Apa yang pasti, menerusi usaha pemerkasaan yang dijalankan, SPRM berkeyakinan BFT mampu menjadi tenaga pakar dan pusat rujukan dalam menjalankan siasatan forensik teknologi serta berupaya merintis inisiatif terkini khususnya pemodenan siasatan berasaskan teknologi digital.-Harian Metro

Penulis Pengarah Bahagian Forensik Teknologi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)