Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Sebanyak 3,000 keping kad Touch ‘n Go (TnG) versi teknologi Komunikasi Medan Dekat (NFC) percuma ditawarkan bagi pendaftar terawal Pangkalan Data Utama (PADU).

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, tawaran itu dibuat bertujuan menggalakkan orang ramai untuk mendaftar dan mengemaskini pada portal pangkalan data itu di www.padu.gov.my bermula 2 Januari depan.

“(Tawaran kad TnG percuma) bagi menggalakkan orang ramai untuk mendaftar sempena minggu pertama pelancaran portal berkenaan.

“Buat masa ini, kita ada kerjasama dengan dua syarikat korporat iaitu TnG dan pasar raya Mydin. Mydin pula akan menawarkan diskaun pembelian kepada mereka yang mendaftar di PADU,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Katanya, pihaknya juga menggalakkan syarikat peruncit dan perkhidmatan lain untuk turut serta menawarkan diskaun dan tawaran kepada mereka yang mendaftar di PADU.

Sistem PADU akan dibuka kepada pengguna bermula 1 Januari hingga 31 Mac 2024 bagi tujuan kemas kini dan pengesahan maklumat individu.

Manakala bermula 1 April 2024, data dan maklumat yang dikemukakan dalam sistem itu akan dianalisis berdasarkan kes gunaan untuk menentukan kumpulan sasar bagi penyasaran semula subsidi. – KOSMO! ONLINE