Sorting by

×

Kerajaan cuba untuk membantu kira-kira 500 penduduk Kampung Setia Jaya, Setapak di ibu kota yang terpaksa berpindah dalam tempoh 18 bulan untuk memberi laluan kepada pembangunan baharu.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Nga Kor Ming bagaimanapun berkata beliau perlu mendapatkan maklumat terperinci berhubung isu berkenaan.

“Secara spesifik saya tiada maklumat. Saya akan dapatkan maklumat dahulu dan kerajaan akan cuba untuk menghulurkan bantuan, tengok bagaimana kita nak bantu.

“Ini kali pertama saya mendengar isu berkenaan. Jadi saya tak dapat nak komen lanjut,” katanya dalam sidang media sempena lawatan kerja di Pasar Bazar Rakyat MBSJ Seri Kembangan di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya wartawan berhubung permintaan penduduk Kampung Setia Jaya yang bakal kehilangan kediaman merayu bantuan kerajaan.

Ini kerana kampung yang berusia 50 tahun itu perlu dikosongkan dan dalam masa sama mereka yang sudah empat generasi menetap di situ berdepan masalah kerana tidak mempunyai tempat tinggal lain.

Kelmarin media melaporkan penduduk meminta campur tangan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam isu itu.

Terdahulu, media melaporkan, keputusan Mahkamah Tinggi pada 19 Disember lalu tidak memihak kepada penduduk Kampung Setia Jaya dengan memerintahkan semua penduduk untuk mengosongkan tanah itu dalam tempoh 18 bulan.

Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memberikan pemilikan Kampung Setia Jaya kepada Kolej Tunku Abdul Rahman (KTAR).

Perkampungan berkenaan sudah diteroka sekitar awal 1970-an oleh peneroka Melayu selari program Buku Hijau disaran kerajaan dipimpin Perdana Menteri ketika itu, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein sehingga dinamakan Kampung Melayu Bumi Hijau (KMBH) sebelum ditukar nama kepada Kampung Setia Jaya.-Harian Metro