Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Lebih 3,000 rakyat di daerah ini dan Batu Pahat hadir menyambut keberangkatan tiba Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar semasa Majlis Jamuan Teh bersama Rakyat di Dataran Tasek Kluang, petang tadi.

Terdahulu, keberangkatan tiba Sultan Ibrahim pada pukul 3 petang itu cukup menggembirakan rakyat Johor, lebih-lebih lagi mereka yang mahu meraikan baginda yang akan melaksanakan tanggungjawab sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17, tahun hadapan.

Rata-rata rakyat yang ditemui dalam majlis berkenaan menyifatkan baginda sebagai sultan berjiwa rakyat dan teruja dengan pemilihan Sultan Johor sebagai Yang di-Pertuan Agong bagi tempoh lima tahun bermula 31 Januari, tahun hadapan. 

Bagi Mustafa Kamal Sapran, dia berbangga kerana Sultan kesayangan rakyat negeri ini dipilih. 

“Sebagai rakyat saya berasa berbangga baginda pada tahun depan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17. Kami mengharapkan semoga Tuanku sentiasa dilimpahi rahmat, kebaikan dunia akhirat. Insya-Allah,” katanya.

Sementara itu, N.Amurthavali berharap agar baginda dapat menjaga rakyat di seluruh negara sebagaimana yang dilakukan kepada rakyat Johor dengan cukup prihatin.

“Moga negara akan menjadi lebih maju lah, Malaysia menjadi semakin maju terutamanya dalam perniagaan, semua bidang, ekonomi akan bertambah baik, keprihatinan terhadap rakyat ini akan kekal, itu harapan kami,” katanya kepada pemberita RTM ketika ditemui pada majlis itu.

Jamuan Teh Bersama Rakyat Kluang dan Batu Pahat yang diadakan di Dataran Tasik Kluang itu, merupakan majlis jamuan teh terakhir setelah ia dilaksanakan di tiga lokasi sebelum ini.

Sebelum ini, majlis itu diadakan di Dataran Tanjung Emas  (4 Dis) bagi meraikan rakyat di Daerah Muar, Segamat dan Tangkak; di Stadium Mersing (7 Dis) untuk rakyat di Mersing dan Kota Tinggi sebelum diadakan di Dataran Majlis Perbandaran Pontian pada 11 Dis untuk rakyat di Pontian, Johor Bahru dan Kulai.

Hadir sama, Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi dan barisan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri serta pegawai kerajaan.-Berita RTM