Sorting by

×

Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bukan lagi pilihan kedua bagi pelajar peringkat menengah untuk menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Majlis TVET Negara berkata graduan dalam aliran TVET kini, mempunyai potensi besar menjadi tenaga mahir negara dalam pelbagai bidang, yang mampu menjanjikan pendapatan dan taraf kehidupan lebih baik untuk masa hadapan.

Ahmad Zahid berkata selepas dilantik sebagai pengerusi majlis berkenaan, beliau menaik taraf pendidikan itu dengan mewujudkan kolaborasi di antara institusi TVET tempatan dengan lebih 200 pemain industri terdiri daripada syarikat dan konglomerat terkemuka seperti Petronas, DRB Hicom, GAMUDA Berhad, Turkish Aerospace Inc., TH Brandenburg University of Applied Sciences dan banyak lagi, dalam menjayakan pemerkasaan TVET di Malaysia.

“Kita juga telah berjaya mewujud sistem permohonan TVET baharu yang dikenali sebagai UP_TVET yang berfungsi seperti portal pengambilan pelajar Unit Pusat Universiti (UPU).

“Dalam masa yang singkat, portal ini berjaya mencatatkan rekod permohonan pelajar mengikuti aliran TVET seramai 62,000 orang, daripada hanya 15,000 penawaran,” katanya pada Majlis Graduasi Huffaz dan Apresiasi Kecemerlangan Imtiaz Ulul Albab 2023 di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Ahmad Zahid berkata antara keberhasilan yang dapat disaksikan melalui Majlis TVET Negara ialah mentransformasi bidang tersebut ke arah melahirkan tenaga mahir warga tempatan, bagi memenuhi keperluan industri negara. 

Beliau berkata menerusi majlis berkenaan, kerajaan berjaya menubuhkan Sekretariat TVET bagi menyelaraskan program dan kursus di 1,344 institusi TVET seluruh negara.

“Kenapa saya kongsikan tentang TVET ini kepada tuan-tuan dan puan-puan semua? Tujuannya tidak lain dan tidak bukan, saya mahukan kita semua melihat bahawa aliran TVET ini merupakan salah satu aliran yang boleh dimanfaatkan oleh para pelajar di sini, sebagai pilihan untuk menyambung pelajaran setelah tamat persekolahan kelak,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata beliau juga berjaya mengusulkan modul pembelajaran berasaskan Program Penghayatan Pendidikan Islam (PPI) 2.0 di 10,740 Taman Bimbingan Kanak-kanak (TABIKA) Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), seluruh negara.

Beliau berkata modul berkenaan merupakan nilai tambah kepada kurikulum Pendidikan Islam sedia ada melibatkan kolaborasi di antara Yayasan Pahang, Yayasan Gabungan Persatuan Institusi Tahfiz al-Quran Kebangsaan (Yayasan PINTA) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Sementara itu, di dalam rakaman video, Ahmad Zahid berpesan kepada pelajar sekolah agama tersebut untuk menterjemahkan pelajaran yang dipelajari dengan cara mengamalkannya, sekali gus membina generasi baharu apabila mereka mengetuainya nanti.

“Di dalam kesederhanaan ini, saya meminta anak-anak dengan doa daripada ibu bapa, bagi terus kita mendukung sifat-sifat Quranik, Ijtihadik, dan juga sifat-sifat murni daripada segi pembentukan sahsiah, ramai di luar sana orang bijaksana, ramai juga yang menjadi ahli profesional.

“Tetapi kita hendaklah mengkombinasikan antara ilmu yang kita pelajari dan juga ilmu yang kita amalkan sebagai satu cara hidup dan agama kita adalah Ad Din yang harus kita dukung dan kita dakap sebagai seorang insan yang mulia,” katanya.-Bernama