Sorting by

×

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengharapkan wakil Barisan Nasional (BN) dapat mewujudkan kolaborasi yang efektif dalam kalangan anggota Kabinet baharu Kerajaan Perpaduan.

Beliau yang juga Pengerusi BN berkata, kolaborasi efektif, kesefahaman yang jitu dan kerjasama baik antara wakil BN dan ahli Kabinet lain penting dalam usaha memperjelaskan dasar serta polisi demi mencapai matlamat pembangunan negara.

“Awal pagi tadi sebelum bermulanya mesyuarat Kabinet, saya dapat meluangkan masa bersama-sama dengan rakan-rakan BN yang ditaklifkan amanah sebagai Menteri dan Timbalan Menteri.

“Saya berharap buat semua yang telah diberikan tanggungjawab ini untuk mewujudkan kolaborasi yang efektif, kesefahaman yang jitu dan kerjasama yang baik antara wakil Barisan Nasional dan ahli Kabinet yang lain untuk memperjelaskan dasar serta polisi demi mencapai matlamat pembangunan negara,” katanya melalui Facebook.

Semalam BH melaporkan pelantikan Datuk Seri Johari Ghani sebagai Menteri Perladangan dan Komoditi dalam rombakan Kabinet diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, melengkapkan semua lima pemimpin ‘Top 5 ‘ UMNO berada dalam barisan Jemaah Menteri.

Turut berada dalam barisan Kabinet baharu itu ialah Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad yang dilantik sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Rombakan juga menyaksikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, kekal dengan portfolio sebagai Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan, bertukar portfolio daripada Menteri Pertahanan kepada Menteri Luar menggantikan Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir yang kini dilantik sebagai Menteri Pengajian Tinggi.

Seorang lagi Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, yang kekal dalam Kabinet, bertukar portfolio ke Kementerian Pertahanan yang dikosongkan Mohamad.

Sementara itu, Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said kekal dengan jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi).

Dua pemimpin tertinggi UMNO yang tiada dalam Jemaah Menteri ketika ini adalah Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh kerana kedua-duanya ada komitmen di peringkat Kerajaan Negeri.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah mengharapkan semua wakil BN dalam Kabinet melaksanakan tanggungjawab dengan penuh dedikasi dan bersama menjaga imej parti.

“Kitalah yang menjadi representasi untuk memperjuangkan isu-isu berkaitan kepentingan rakyat. 

“Semoga semua ahli kabinet BN dapat memainkan peranan sewajarnya memperkukuhkan Kerajaan Perpaduan dan memperkasakan agenda Malaysia MADANI,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Dr Asyraf Wajdi Dusuki ketika mengulas isu memaklumkan, antara amanat penting diberikan Zahid ketika perjumpaan pagi tadi adalah supaya semua dapat melaksanakan amanah dengan bersungguh-sungguh dan memastikan semua isu rakyat ditangani dengan sebaiknya. 

“Hanya dengan prestasi kerja yang cemerlang mampu memastikan kerajaan Perpaduan akan mendapat kepercayaan rakyat,” katanya melalui Facebook.

Ketika ini, seramai 12 Ahli Parlimen UMNO dalam barisan Jemaah Menteri termasuk tujuh jawatan Menteri dan lima sebagai Timbalan Menteri.

Untuk rekod UMNO mempunyai 26 Ahli Parlimen bersama empat lagi wakil rakyat Barisan Nasional (BN) menjadikan parti itu mempunyai 30 wakil di Dewan Rakyat.