Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) yang sebelum ini di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) kini diletakkan di bawah Kementerian Komunikasi.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada Rabu.
“‘Ada satu agensi yang dibawa masuk ke dalam Kementerian Komunikasi ialah J-KOM. Perkara ini diputuskan dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.
“Selain itu, Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR), Jabatan Penerangan (JaPen), Jabatan Penyiaran, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) dan MyCreative Ventures akan dikekalkan di bawah Kementerian Komunikasi,” katanya.
Sementara itu, katanya, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), MYNIC Bhd dan Jabatan Perlindungan Data Peribadi akan dipindahkan ke Kementerian Digital.
Semalam, Perdana Menteri mengumumkan rombakan Kabinet pertama Kerajaan MADANI dengan penstrukturan semula Kementerian Komunikasi dan Digital yang dipisahkan kepada Kementerian Komunikasi dan Kementerian Digital.
Pada pengumuman itu, Fahmi dinamakan sebagai Menteri Komunikasi manakala Ahli Parlimen Damansara Gobind Singh Deo yang juga bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia sebagai Menteri Digital.-Berita RTM