Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mempengerusikan mesyuarat Jemaah Menteri yang pertama selepas rombakan kabinet diumumkannya semalam.

Mesyuarat di Bangunan Perdana Putra, di sini, bermula jam 9.30 pagi, dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan semua barisan menteri baharu, manakala seorang lagi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof sedang menunaikan umrah.

Difahamkan dalam mesyuarat itu, Perdana Menteri menyampaikan amanat serta taklimat berhubung perjalanan, peraturan dan hala tuju Kerajaan Perpaduanpimpinannya.

Menerusi gambar yang dikongsikan Pejabat Perdana Menteri, semua menteri turut beramah mesra dalam kalangan mereka, terutama bersama menteri yang baharu dilantik.

Hari ini juga, semua menteri serta timbalan menteri yang baharu, memulakan tugas rasmi di kementerian masing-masing dengan menghadiri sesi ‘clock in’, selain majlis majlis serah terima tugas.

Semalam, Perdana Menteri mengumumkan rombakan pertama Kabinetnya selepas setahun mengemudi Kerajaan Perpaduan.

Menerusi rombakan itu, Anwar mengumumkan beberapa perubahan, termasuk menampilkan muka baharu sebagai menteri dan timbalan menteri, antaranya bekas Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Datuk Seri Amir Hamzah Azizan sebagai Menteri Kewangan II.

Malah, rombakan itu menampilkan semula beberapa bekas menteri, antaranya Datuk Seri Johari Abdul Ghani di Kementerian Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad yang kembali menerajui Kementerian Kesihatan (KKM) dan Gobind Singh Deo sebagai Menteri Digital.

Beberapa kementerian turut menyaksikan pengasingan protfolio, membabitkan Kementerian Komunikasi dan Digital yang dipecahkan menjadi Kementerian Komunikasi serta Kementerian Digital.

Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) dipecahkan menjadi Kementerian Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam serta Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam.